MALAYSIA
Malaysia perkukuh hubungan dengan Perancis demi manfaat masa hadapan - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Diaspora Malaysia di Paris, pada Khamis. - Gambar Pejabat Perdana Menteri
PARIS: Malaysia berharap perhubungan secara berterusannya dengan Perancis akan memberikan manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan semasa pertemuan bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada Jumaat.
"Kita akan mencari cara untuk meneroka perkara ini. Malah, kita telah mempertingkatkan hubungan kita sejak beberapa tahun lepas, bukan sekadar membeli produk seperti kapal terbang, tetapi juga membekalkan alat ganti untuk pengeluarannya," kata beliau pada Khamis.
"Dahulu, kita banyak membeli kapal terbang daripada Airbus dan Boeing. Kini, kita mempunyai syarikat yang menghasilkan alat ganti untuk pengeluar kapal terbang ini di Malaysia," kata beliau.Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Perdana Menteri berkata, pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Perancis, perlu mengambil peluang daripada perkembangan pesat industri berteknologi tinggi di tanah air dan pulang selepas menamatkan pengajian mereka di sini.
Anwar kini berada di Perancis untuk lawatan rasmi atas jemputan Presiden Macron.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Macron di Istana Elysee dengan agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Perancis kekal sebagai antara lima rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).
Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencatatkan RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan antara Januari hingga Mei tahun ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami