IPOH: Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak berjaya mencapai objektif utamanya dalam memasyarakatkan perkhidmatan awam melalui penyediaan pelbagai kaunter titik sentuh secara terus kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata penganjuran program berskala besar itu merupakan platform penting dalam membawa aksesibiliti program kerajaan ke peringkat akar umbi agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
Advertisement
"Saya kira perkara pertama yang kita mesti ambil maklum ialah Program MADANI Rakyat ini telah pun diadakan sejak tahun 2024, dan objektif utamanya ialah untuk memasyarakatkan perkhidmatan awam.
“Jadi, kalau kita tengok hari ini sahaja (melibatkan) 34 kementerian untuk lebih kurang 230 perkhidmatan langsung, titik sentuh yang boleh terus diperoleh oleh rakyat... objektif kita ialah membawa perkhidmatan itu ke peringkat bawah, ke peringkat akar umbi ini sangat tercapai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke PMR 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata kejayaan program itu adalah hasil sinergi mantap antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta penglibatan pelbagai badan bukan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau berkata kerjasama itu turut melibatkan pemegang taruh melalui perkhidmatan seperti i-Biaya yang diwujudkan khusus bagi memudahkan urusan rakyat dalam mendapatkan skim pembiayaan perumahan yang diidamkan.
"Ini semua menunjukkan sinergi di antara satu pasukan dengan semangat stronger together khususnya di peringkat KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang kita jelmakan setiap kali program-program kita adalah secara kerjasama," katanya.
Mengulas mengenai sambutan pengunjung, Aiman Athirah berkata kehadiran yang direkodkan setakat semalam iaitu kira-149,000 orang, iaitu melepasi sasaran awal 100,000 orang yang ditetapkan sebelum ini meskipun program belum tamat sepenuhnya.
“Alhamdulillah, sambutan ini kita lihat adalah satu reaksi yang sangat baik daripada rakyat di Perak khususnya, melihatkan bahawa mereka prihatin adanya Program-Program MADANI Rakyat ini," katanya.
-- BERNAMA