Malaysia perkukuh komitmen Sifar Sisa menerusi Deklarasi Istanbul

Nga Kor Ming yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata, Malaysia berdiri seiring dengan kerajaan Turkiye dan 104 negara anggota dalam mempromosikan sifar sisa sebagai tanggungjawab global dan asas kepada perbandaran mampan. - Foto FB KPKT
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan sokongan penuh dan pengesahan terhadap Deklarasi Istanbul mengenai Sifar Sisa, menzahirkan komitmen negara untuk memajukan pengurusan sisa lestari dan amalan ekonomi kitaran sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Perjanjian Paris.
Ringkasan AI
- Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap Deklarasi Istanbul mengenai Sifar Sisa sebagai komitmen kepada pengurusan sisa mampan dan ekonomi kitaran.
- Nga Kor Ming berkata usaha sifar sisa selari dengan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran 2025-2035 dan pencapaian Malaysia dalam menutup tapak pelupusan haram serta meningkatkan kitar semula.
- Malaysia komited bekerjasama dengan komuniti antarabangsa termasuk Turkiye dan UN-Habitat untuk memperkukuh gerakan sifar sisa global.
"Deklarasi ini juga menggesa semua negara memastikan akses saksama terhadap pengurusan sisa dan perkhidmatan bandar asas supaya tiada individu atau tempat yang tertinggal," katanya pada Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri Forum Sifar Sisa Global 2025 di Istanbul, Turkiye.
Nga berkata, tindakan Malaysia mencerminkan aspirasi antarabangsa seperti Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran 2025-2035, yang menyediakan hala tuju strategik bagi pengurusan sisa mampan menerusi lima tonggak utama - tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, pendigitalan dan teknologi, infrastruktur dan kemudahan, serta pewujudan pasaran.
Beliau berkata, pencapaian Malaysia, termasuk penutupan lebih 2,000 tapak pelupusan sampah haram, liputan 100 peratus bagi kutipan sisa bandar dan pengalihan lebih 22,000 tan bahan kitar semula dari tapak pelupusan, membuktikan matlamat sifar sisa dapat dicapai apabila disokong oleh dasar yang kukuh dan penyertaan masyarakat.
"Kami memuji kepimpinan kerajaan Turkiye dan Zero Waste Foundation, di bawah naungan Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan, yang menerajui gerakan global ini. Malaysia berbangga menjadi antara negara yang menterjemahkan visi sifar sisa kepada impak dunia sebenar," katanya.
Forum Sifar Sisa Global 2025 bertemakan Zero Waste in Action: People, Places, Progress berlangsung dari 17 hingga 19 Okt di Istanbul.
Deklarasi Istanbul mengenai Sifar Sisa 2025, yang diterima pakai oleh menteri dan delegasi dari lebih 100 negara, menegaskan semula prinsip Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu A/RES/77/161 tentang Mempromosikan Inisiatif Sifar Sisa.
Deklarasi itu menyeru negara anggota untuk mengekalkan momentum politik global dalam memperkasakan gerakan sifar sisa dan pelaksanaan New Urban Agenda, menetapkan pusat tumpuan nasional untuk menyelaras dengan Zero Waste Foundation Turkiye dan mempercepat kemajuan beberapa SDG termasuk penglibatan dalam inisiatif UN-Habitat Waste Wise Cities.
Dokumen itu turut menggesa penyepaduan prinsip sifar sisa dalam tindakan iklim dan menggalakkan kerjasama dengan sektor swasta dan institusi pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami