KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempunyai strategi pembangunan sendiri dan tidak bergantung kepada perancangan pembangunan negara lain kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata dalam merancakkan pelan perkembangan ekonomi negara, Malaysia sudah pasti akan menerima dan mengambil sinergi daripada pembangunan ibu kota baharu Indonesia iaitu Nusantara di Kalimantan.

"Pembangunan Nusantara sebenarnya jauh dari Sabah dan Sarawak walaupun nampak dekat. Bagi Malaysia dalam hal ini kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada negara lain.

"Kita akan mengambil sinergi yang kita dapat tetapi kita sebagai satu negara kena hasilkan strategi pembangunan sendiri," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai limpahan ekonomi kepada Sabah dan Sarawak kesan daripada pembangunan Nusantara.

Mengulas mengenai jumlah terkini pelaburan berasaskan sektor berimpak tinggi yang telah dibawa masuk ke Sabah, Liew berkata negeri itu telah menarik sejumlah RM9.05 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama melibatkan 68 projek dan dijangka mewujudkan 722 peluang pekerjaan.

Katanya pelaburan langsung domestik (DDI) merupakan penyumbang utama dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM8.99 bilion atau 99 peratus, manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM61.7 juta (1.0 peratus).

Menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai sektor yang berpotensi untuk dikembangkan di masa hadapan bagi menjadikan Sabah sebagai kuasa besar industri baharu negara, Liew berkata ia mempunyai potensi yang besar bagi pembangunan industri perkilangan dan perkhidmatan berasaskan sumber.

"Bagi sektor perkhidmatan, sektor yang berpotensi di Sabah termasuk pelancongan, tenaga boleh diperbaharui (RE), logistik dan pendidikan, latihan serta penyelenggaraan.

"Bagi sektor perkilangan pula, industri produk hiliran berasaskan kelapa sawit, minyak dan gas, simen dan komponen solar berpotensi memberi impak besar kepada ekonomi Sabah," katanya.

Selain itu, Liew berkata sektor biomas turut mempunyai potensi besar dalam melonjakkan ekonomi Sabah iaitu melalui pelaburan tenaga bersih, industri hijau dan pembangunan industri hiliran tempatan.

-- BERNAMA