Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu peralihan tenaga terancang, ambil kira realiti semasa dan aspirasi jangka panjang - Menteri

KUALA LUMPUR, Sept 3 - Economy Minister Akmal Nasrullah Mohd Nasir delivers a speech at the EIC Connect OGA programme at the Kuala Lumpur Convention Centre today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Malaysia perlu melaksanakan peralihan tenaga secara terancang bagi menyeimbangkan realiti semasa dengan aspirasi jangka panjang negara, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan peralihan tenaga secara terancang bagi menyeimbangkan realiti semasa dengan aspirasi jangka panjang negara, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata keselamatan dan kemampuan menanggung kos tenaga perlu terus dipelihara, manakala peralihan kepada sistem tenaga yang lebih mampan mesti memastikan bekalan kekal boleh dipercayai serta menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Cabaran kita bukanlah untuk memilih antara keselamatan tenaga dan peralihan tenaga, tetapi mengurus kedua-duanya dengan cara yang dapat memperkukuh daya saing Malaysia dalam jangka panjang,” katanya dalam ucaptama Pameran Oil & Gas Asia (OGA) 2026 di sini.

Akmal Nasrullah berkata kebergantungan berlebihan kepada mana-mana satu sumber tenaga boleh meningkatkan kerentanan negara, manakala minyak dan gas akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi serta memastikan keselamatan tenaga.

“Atas sebab ini, Rancangan Malaysia Ke-13, Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara menjadi panduan kepada hala tuju dasar ke arah kepelbagaian sumber tenaga yang lebih besar melalui tenaga nuklear, tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga, hidrogen dan bioenergi,” katanya.

Beliau berkata matlamat peralihan tenaga bukan sekadar menggantikan satu sumber tenaga dengan sumber yang lain, tetapi memberikan Malaysia lebih banyak pilihan, mengurangkan pendedahan kepada kejutan luaran dan mewujudkan sumber nilai ekonomi baharu.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan juga perlu mengurus pertukaran sukar dalam proses peralihan tenaga, termasuk aspek penetapan harga tenaga.

“Kita perlu memastikan tenaga kekal mampu milik, khususnya bagi mereka yang memerlukan sokongan, di samping menyediakan isyarat yang tepat untuk meningkatkan kecekapan, menggalakkan pelaburan dan membangunkan sistem tenaga yang lebih mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama serantau akan menjadi semakin penting, dengan usaha memperkukuh kesalinghubungan bukan sahaja melibatkan perdagangan atau diplomasi, tetapi turut merangkumi sektor tenaga.

Akmal Nasrullah berkata inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) boleh memudah cara perdagangan elektrik rentas sempadan, menyokong integrasi tenaga boleh baharu dan memperkukuh daya tahan serantau.

Bagaimanapun, katanya, aspirasi itu perlu disokong oleh infrastruktur dan pelaburan yang mencukupi.

Beliau berkata Malaysia memerlukan grid elektrik yang lebih kukuh dan fleksibel, kapasiti penyimpanan tenaga yang lebih besar serta integrasi yang lebih baik antara infrastruktur tenaga, perindustrian dan digital.

“Pelaburan yang diperlukan adalah besar dan sumber kerajaan sahaja tidak mencukupi. Oleh itu, modal swasta perlu memainkan peranan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata pelabur memerlukan lebih daripada pulangan yang menarik kerana projek tenaga lazimnya mempunyai tempoh pelaburan antara 20 hingga 30 tahun, justeru mereka juga memerlukan keyakinan terhadap persekitaran dasar tempat mereka beroperasi.

Katanya, perkara itu memerlukan hala tuju dasar yang jelas, peraturan yang boleh dijangka dan pelaksanaan yang konsisten.

“Dasar sememangnya akan berkembang seiring perubahan teknologi dan pasaran. Apa yang penting ialah sebarang pelarasan dibuat secara telus, berasaskan bukti dan dilaksanakan secara boleh dijangka,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata Malaysia perlu kekal sebagai rakan yang boleh dipercayai kepada pelabur, industri dan rakan serantau.

“Bagi Malaysia meneruskan transformasinya, kita perlu kekal sebagai rakan yang boleh dipercayai kepada pelabur, industri dan rakan serantau. Oleh itu, kredibiliti dasar bukan sesuatu yang berasingan daripada daya saing. Ia sebahagian daripadanya,” katanya.

Beliau berkata syarikat tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) kini semakin berkembang melangkaui pasaran domestik.

Menurutnya, kira-kira 600 syarikat telah menerima sokongan untuk mengembangkan eksport dan membangunkan teknologi, sekali gus menjana lebih RM2 bilion dalam jualan eksport OGSE melalui program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement