Seiring dengan prestasi ekonomi dan pelaburan domestik yang semakin meningkat, Malaysia disaran supaya memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan industri pengurusan dananya, demikian menurut pakar kewangan antarabangsa.

Perunding S Das & Associates Pty Ltd Satyajit Das, pakar antarabangsa dalam bidang derivatif kewangan, pengurusan risiko dan pasaran modal berkata langkah berkenaan juga boleh membantu negara mencapai matlamat ekonomi dan sosialnya dengan lebih mudah.

"Industri pengurusan aset di Malaysia condong ke arah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerajaan (KWSP).

"Bagi menjadikan ekonomi berkembang, ia akan bergantung kepada pengurusan negara yang dapat menggunakan dana dengan baik dan menggunakannya dengan cekap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pembentangan mengenai "Death of Asset Managers?", anjuran bersama Institut Bank-Bank Malaysia dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia, di sini hari ini.

Bekas pegawai bank, bendahari korporat dan perunding kepada bank, pengurus dana, syarikat dan bank-bank pusat itu juga berkata langkah itu boleh memberi kelebihan kepada negara dalam menguruskan ekonomi serta untuk meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing.

"Malaysia berada dalam kawasan yang disasarkan oleh pengurus dana asing, dan dengan mempunyai industri pengurusan aset yang baik , ia akan mengelakkan aliran keluar dana," kata Das.