KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan satu bentuk prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk pilihan raya berjangka panjang, kata G Manimaran.

Jelas bekas ahli tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) itu, budaya berpolitik berpanjangan lanjutan kekerapan pilihan raya di negara ini memerlukan satu garis panduan yang dinamik bagi menyantuni keadaan pasca pandemik COVID-19.

“Politik adalah sebahagian daripada ekosistem kehidupan kita, jadi saya setuju kita perlu ada SOP yang saling berkait dan jelas.

“Sebab kita di Malaysia suatu yang luar biasa adalah kita ‘berkempen’ tiap-tiap hari, kita ‘berkempen’ untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selepas PRU ke-14 selesai tiga tahun lepas, hari-hari orang bercakap pasal politik,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya apabila adanya SOP khusus tersebut, ia dapat dikuatkuasakan sejurus terbubarnya sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen yang baginya menandakan bermulanya proses pilihan raya.

Jelasnya, memandangkan PRU diadakan setiap lima tahun dan di antaranya ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, tindakan proaktif itu amat diperlukan.

“Ia memberi impak kepada kehidupan kita di fasa-fasa lain, ekonomi, sosial dan kesihatan.

“Jadi perlu ada mekanisme yang menyeluruh, konstruktif dan dinamik untuk jangka panjang, dan ianya patut diwujudkan sekarang,” katanya.

G Manimaran bersama dua lagi panel; pakar perubatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah dan penganalisis ekonomi Prof Madya Mohd Yusof Saari menyerikan pentas Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop pada Khamis.

Tonton di sini:


Malaysia perlu siap dengan SOP jangka panjang untuk pilihan raya - G Manimaran


Dialog Tiga Penjuru: Tak Jaga SOP PRN, Risiko Kita 'Terkurung' Semula?