Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu tangani cabaran struktur untuk keluar daripada pendapatan pertengahan

81707971264_TBorangramai.jpg
Setakat 2026, Malaysia masih berada dalam kategori negara berpendapatan pertengahan tinggi dengan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita sebanyak RM57,070. - Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia masih berdepan dengan beberapa cabaran struktur yang perlu ditangani untuk keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan, menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu menyatakan cabaran tersebut antaranya termasuk pertumbuhan produktiviti yang masih perlahan, tahap inovasi dan pelaburan teknologi yang belum memadai, kesenjangan pembangunan serta pendapatan antara wilayah dan ruang fiskal kerajaan yang terhad.

Advertisement

"Menangani isu-isu ini secara konsisten dan bersepadu merupakan prasyarat penting untuk memastikan transformasi struktur ekonomi dapat dicapai secara mampan dan inklusif," kementerian itu berkata melalui jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai perubahan struktur ekonomi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan Malaysia tidak terus terperangkap sebagai negara berpendapatan sederhana memandangkan negara-negara serantau lain menunjukkan peralihan lebih pantas ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Pendekatan yang lebih menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) akan merealisasikan hasrat negara untuk mendepani cabaran struktur ekonomi ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, katanya.

"Pendekatan ini termasuklah dengan memberikan penekanan berterusan ke arah usaha untuk melonjakkan produktiviti dan memperkukuh kerencaman ekonomi melalui penghasilan produk dan perkhidmatan 'Made by Malaysia' yang bernilai tinggi serta tahap kompleksiti yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor-sektor strategik.

"Fokus utama, antaranya dengan memacu industri high-growth high-value serta sektor strategik seperti teknologi AI, reformasi semikonduktor dan peralihan tenaga bersih," kata kementerian itu.

Selain itu, kementerian itu berkata pelaksanaan reformasi pasaran buruh terutamanya melalui semakan semula penetapan gaji minimum secara berkala dengan mengambil kira konsep gaji kehidupan wajar dan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) membantu memastikan pekerja mendapat ganjaran yang adil.

"Langkah ini penting bagi memastikan pekerja memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup seiring dengan pertumbuhan pendapatan negara," katanya.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi berkata pembaharuan dalam pembangunan modal insan sedang diperkukuh melalui peningkatan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI) serta usaha merapatkan jurang kemahiran dalam sektor berteknologi tinggi.

"Peningkatan produktiviti buruh menjadi teras kepada strategi untuk mempercepat peralihan Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi," katanya.

Setakat 2026, Malaysia masih berada dalam kategori negara berpendapatan pertengahan tinggi dengan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita sebanyak RM57,070.

Berdasarkan kriteria ditetapkan oleh Bank Dunia pada 2024, nilai ambang negara berpendapatan tinggi perlu melebihi AS$13,935 atau sekitar RM60,000.

Nilai ambang bagi tahun 2025 akan dikeluarkan oleh Bank Dunia pada Julai, 2026.

Malaysia, Indonesia dan Thailand berada dalam kategori pendapatan yang sama, manakala negara ASEAN yang lain kecuali Singapura dan Brunei, masih berada dalam kumpulan berpendapatan pertengahan rendah.

Menurut Kementerian Ekonomi, mengambil kira pelbagai keutamaan, strategi dan inisiatif yang dinyatakan dalam RMK13, PNK per kapita negara dijangka akan meningkat kepada RM77,200 pada tahun 2030 seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi pada akhir tempoh pelaksanaan RMK-13.

"Bagaimanapun, pencapaian ini bergantung kepada prestasi pertumbuhan ekonomi semasa pada kadar purata antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun, pengukuhan kadar pertukaran mata wang asing serta prospek pelaburan strategik yang menggalakkan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video