KUALA LUMPUR: Susulan peningkatan kes melibatkan keselamatan siber, privasi, hak cipta dan kandungan tidak bermoral di platform-platform media sosial, satu bentuk kawal selia dicadangkan diwujudkan di negara ini, kata Fahmi Fadzil.

Ini kerana, menurut Menteri Komunikasi itu, kesemua platform sosial media di Malaysia masih belum dikawal selia oleh mana-mana akta dan undang-undang.

Sehubungan itu, jelas Fahmi, kawal selia perlu diwujudkan bagi memastikan platform media sosial mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan selain menjamin hak pengguna terutamanya bagi menjaga sensitiviti maklumat.

“Sekarang semua platform media sosial (tiada kawalan), tetapi hampir di semua negara (lain) semuanya dikawal. Jadi kami (kerajaan) melihat peraturan khusus.

“Saya tidak akan mengatakan mengharapkan banyak, kita memerlukan peraturan yang lebih baik... keselamatan dalam talian kanak-kanak pertama dan utama, kita (kerajaan) perlu mengawal selia platform ini, supaya mereka boleh mendengar arahan kita,” tambahnya lagi.

[TERKINI] Perlu wujudkan akta regulasi platform sosial media - Fahmi

Berhubung kawal selia ke atas media sosial, Fahmi memberi contoh bagaimana negara-negara seperti Amerika Syarikat dan entiti Kesatuan Eropah (EU) boleh mengenakan tindakan undang-undang buat syarikat pengendali media sosial yang melanggar mana-mana hak pengguna.

Justeru, Kementerian Komunikasi, ujar Fahmi, akan mengadakan satu pertemuan dengan menteri berkaitan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan dengan lebih terperinci berkenaan isu keselamatan dalam talian di platform media sosial.

“Saya akan adakan mesyuarat dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said selain Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

“Ia berkenaan jawatankuasa teknikal yang ditugaskan oleh jemaah menteri untuk meneliti isu keselamatan dalam talian, terutamanya (melibatkan) kanak-kanak,” kata beliau lagi.

Beliau berkongsi pandangannya dalam Forum Tech Talk, Malaysian Communication Summit “Charting the Future Together” bersempena Youth Empowerment Fair 2024 yang berlangsung di ibu negara selama dua hari.