KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan institusi pengajian tinggi kedua-dua negara bagi mengukuh dan meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MoU itu termasuk mewujudkan makmal kanta, pergerakan pelajar, makmal satelit, ijazah berganda, geran padanan, program akademik dan penyelidikan bersama, peningkatan kurikulum pembelajaran, serta latihan dan pemindahan teknologi.

Beliau berkata makmal kanta antara National Research University Higher School of Economics (HSE) di St. Petersburg dan Azman Hashim International Business School (AHIBS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilancarkan sebelum ini.

"Kini kita mempunyai makmal antara AHIBS, UTM dan Laboratory for Reputation Management in Education (RepLab), HSE yang melibatkan kajian dan pembangunan keusahawanan sosial di kedua-dua negara (Malaysia dan Rusia) menerusi analisis rentas negara," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas beliau dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Valery Falkov menyaksikan pertukaran MoU antara pelbagai institusi pengajian tinggi Malaysia dan Rusia pada Mesyuarat ke-2 Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama pendidikan itu turut meliputi usaha mempromosi bahasa Melayu di Rusia dan sebaliknya, dengan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantara dalam beberapa persidangan dan seminar di Moscow dan St. Petersburg.

"Kerjasama pendidikan ini akan meluaskan lagi peluang pendidikan dan menggalakkan pertukaran budaya serta pembelajaran bahasa, dengan penekanan dalam mempromosikan bahasa Rusia di Malaysia dan bahasa Melayu di Rusia," katanya.

Menurutnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah bersetuju untuk mengiktiraf semua ijazah diberikan pihak berkuasa Persekutuan Rusia yang berkaitan atau Perkhidmatan Persekutuan bagi Penyeliaan Pendidikan dan Sains.

"Pengiktirafan bagi program profesional seperti dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejururawatan, kejuruteraan dan seni bina pula tertakluk kepada penerimaan oleh badan profesional berkaitan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Valery berkata kedua-dua negara mengalu-alukan perkembangan lanjut bagi kerjasama dinamik itu, yang bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat serta ekonomi Rusia dan Malaysia.

"Saya harap kerjasama ini akan memberi impak besar, selain mewujudkan peluang bagi komuniti perniagaan kedua-dua negara serta memudahkan pertukaran pengetahuan dan teknologi," katanya.

-- BERNAMA