Skip to main content

Malaysia

Malaysia sambut Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia buat julung kali esok

Selaras dengan tema “Ke Arah Komuniti Luar Bandar yang Dinamik, Makmur dan Bahagia”, Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Inovasi Komuniti, Pendigitalan Desa dan Pembangunan Usahawan sebagai pemacu kepada transformasi desa yang inklusif, mampan dan berdaya saing.FB Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
KKDW menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, sambutan berkenaan akan memberikan penekanan kepada tiga teras utama, iaitu inovasi komuniti, pendigitalan desa dan pembangunan usahawan luar bandar.
Advertisement

KUANTAN: Malaysia bakal menyambut Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia  buat julung-julung kalinya di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dekat Maran, esok. 

Sambutan bertemakan Ke Arah Komuniti Luar Bandar Yang Dinamik, Makmur dan Bahagia itu, dianjurkan sebagai pengiktirafan terhadap golongan berkenaan dalam memacu pembangunan negara dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan merasmikan sambutan itu.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, sambutan berkenaan akan memberikan penekanan kepada tiga teras utama, iaitu inovasi komuniti, pendigitalan desa dan pembangunan usahawan luar bandar.

Ketiga-tiga teras ini diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif yang memperluas peluang ekonomi, memperkukuh akses kepada teknologi digital serta memperkasakan komuniti agar lebih progresif dan berdaya saing.

 “Usaha ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui KKDW dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” menurut hantaran itu. 

Sambutan bersejarah itu bakal menampilkan pelbagai pengisian antaranya Anugerah Aspirasi Desa MADANI, Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda, Peluncuran Jurnal My Rural Insight serta pengumuman Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2026 Felcra Bhd. 

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan yang menyediakan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik di reruai pameran KKDW dan agensi terlibat. 

Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia telah diisytiharkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 6 Sept 2024, dengan menetapkan 6 Julai sebagai tarikh sambutan tahunan bersempena penubuhan Pusat Pembangunan Luar Bandar Bersepadu untuk Asia dan Pasifik.

Sambutan WRDD telah diadakan buat kali pertama pada peringkat global pada 6 Julai 2025, manakala Malaysia menjadi antara negara anggota yang melaksanakan sambutan rasmi mulai 2026.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement