KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pengaman ke Palestin sekiranya mendapat permintaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia tidak boleh terus menghantar anggota ke negara berkenaan kerana terikat dengan undang-undang antarabangsa.

"Kalau PBB minta (kita sedia hantar misi pengaman ke Palestin). Ia mesti ditentukan PBB, tidak boleh Malaysia membuat keputusan unilateral, mesti di bawah PBB, itu peraturannya.

"Kita tidak boleh bersendirian hantar tentera kita kerana ia melibatkan undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat berkenaan Kesiapsiagaan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Bagi Menangani Ancaman Wabak COVID-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini pada Isnin.

Tambah beliau, Malaysia sebelum ini pernah beberapa kali menghantar pasukan pengaman di banyak negara melalui PBB.

"Memang kita ada hantar misi pengaman di bawah panji PBB ke Lubnan, Filipina, Sudan, Sierra Leone, Congo sebelum ini," ujarnya.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan Malaysia, Indonesia dan Brunei menggesa agar satu sidang tergempar PBB diadakan segera bagi menangani isu keganasan melampau rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

BACA: Isu Palestin-Israel: Malaysia, Indonesia dan Brunei gesa sidang tergempar PBB diadakan

Gesaan dibuat menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo serta Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.

Ketiga-tiga pemimpin negara itu mahu sebuah resolusi keamanan dicapai bagi memastikan kekejaman yang menimpa rakyat Palestin ketika ini dapat dihentikan.

Mereka turut menuntut pihak berkepentingan untuk melaksanakan gencatan senjata serta menerima penglibatan pemantau antarabangsa di bandar Al-Quds, Palestin untuk memastikan gencatan itu dipatuhi.