Skip to main content

Malaysia

Malaysia sedia hulur bantuan kemanusiaan kepada Yaman - Mohamad Hasan

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan perayaan Deepavali di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.  - Foto Bernama
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan perayaan Deepavali di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Yaman dan menggesa penyelesaian konflik melalui rundingan diplomatik.
  • Menteri Luar Mohamad Hasan menzahirkan simpati terhadap penderitaan rakyat Yaman akibat perang saudara yang berlarutan.
  • Malaysia menyeru pihak berkepentingan luar memainkan peranan konstruktif dan mengutamakan usaha diplomatik demi kestabilan serantau.

SEREMBAN: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Yaman selain menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di negara itu supaya kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian secara diplomatik.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia bersimpati dengan penderitaan rakyat Yaman yang terpaksa menanggung kesan perang saudara berlarutan termasuk kebuluran dan kesukaran mendapatkan keperluan asas.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh rakan sejawatnya Menteri Luar dan Ekspatriat Yaman Dr Afrah Abdulaziz Al-Zouba, yang berkongsi perkembangan terkini di negara itu melalui panggilan telefon pada Khamis. 

"Malaysia bersedia menyertai apa-apa misi bantuan atau menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang memerlukan, setakat kemampuan kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan perayaan Deepavali di Dewan Orang Ramai Rantau di sini, hari ini.

Mohamad berkata konflik berkenaan perlu ditamatkan kerana tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat sebaliknya menyebabkan penderitaan berpanjangan kepada kira-kira 22 juta penduduk yang terkesan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkepentingan dari luar supaya memainkan peranan konstruktif dengan kembali ke meja rundingan bagi membolehkan rakyat Yaman menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera.

Beliau berkata usaha diplomatik perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan konflik berkenaan daripada terus berpanjangan dan menjejaskan kestabilan serantau.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement