KUALA LUMPUR:Malaysia bersama dengan 23 negara di seluruh dunia menyertai Hari Penyakit Tropikal Terabai (NTD) dalam mengukuhkan perpaduan untuk bersama menamatkan NTD dan membebaskan generasi akan datang daripada belenggu penyakit yang dikaitkan dengan kemiskinan ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata walaupun Malaysia merupakan negara berpendapatan sederhana tinggi, ia masih tidak bebas daripada NTD, dan ia mengambil contoh penyakit denggi, jangkitan virus bawaan nyamuk yang merupakan penyebab utama morbiditi dan kematian di Malaysia.

"Pada tahun 2019, lebih daripada 130,000 kes denggi direkodkan, yang menunjukkan kenaikan 61 peratus berbanding tahun 2018 (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC), KKM, 2018)," menurut kenyataan itu.

"Dianggarkan lebih daripada 1.7 bilion orang dijangkiti NTD, atau bersamaan dengan 24 peratus daripada populasi dunia. Dengan menyertai solidariti ini, Malaysia dapat membantu dalam meningkatkan keprihatinan kepada pahit getir dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat yang hidup dengan ancaman NTD setiap hari," menurutnya.

"NTD yang tidak dirawat akan mengakibatkan kemorosotan kognitif dan ketidakupayaan, malah dalam keadaan yang lebih parah boleh menyebabkan malnutrisi serta kematian," tambahnya.

Menurutnya tumpuan seluruh dunia terhadap krisis COVID-19 telah mengalihkan sumber serta perhatian daripada isu penyakit kritikal global lain seperti NTD, lantas memburukkan lagi risiko kesihatan terhadap golongan rentan.

"Kita perlu memanfaatkan 'big data analytics' dan program pelbagai sektor berasaskan bukti bagi membasmi NTD," kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dalam kenyataan itu.

Sempena kempen ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) semalam telah melancarkan pelan tindakan "Ending the neglect to attain the Sustainable Development Goals: a road map for NTD 2021-2030" oleh Ketua pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

"Ada peluang untuk menerapkan kerjasama yang julung kali berlaku sebelum krisis COVID-19 ini bagi menangani NTD, dan ia merangkumi perkongsian antara sektor dan antara industri, membina kehendak politik yang kuat, dan menjana sumber yang diperlukan untuk mencapai kejayaan mutlak," menurut kenyataan itu.

Memandangkan esok menandakan kali kedua acara tahunan NTD disambut, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara, Malaysia bersama-sama lebih 300 agensi kerajaan, kesihatan, komuniti serta peneraju perniagaan, akan menggunakan kesempatan ini bagi merencanakan pelbagai aktiviti yang bermakna dalam menyokong usaha untuk menghapuskan NTD.

-- BERNAMA