Malaysia sertai UNTCC di New Delhi

UNTCC yang berlangsung dari 14 hingga 16 Okt itu bertujuan menggalakkan dialog, mengukuhkan perkongsian serta merangka visi bersama untuk masa depan operasi pengaman PBB dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyertai United Nations Troop Contributing Countries' (UNTCC) Chiefs' Conclave di New Delhi, sebuah acara yang menghimpunkan pemimpin kanan tentera dari 32 negara bagi membincangkan langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dianjurkan oleh Tentera Darat India, UNTCC yang berlangsung dari 14 hingga 16 Okt itu bertujuan menggalakkan dialog, mengukuhkan perkongsian serta merangka visi bersama untuk masa depan operasi pengaman PBB dalam persekitaran global yang semakin kompleks, menurut UNTCC dalam satu kenyataan.
"UNTCC akan menjadi platform unik bagi pemimpin tentera daripada negara-negara utama penyumbang pasukan pengaman PBB untuk membincangkan usaha meningkatkan keberkesanan, keterangkuman dan kemampanan operasi pengaman.
"Perbincangan akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kebolehoperasian, memanfaatkan teknologi serta memperkukuh peranan misi pengaman sebagai tanggungjawab bersama dalam mengekalkan kestabilan global," menurut kenyataan UNTCC.UNTCC berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen lama India terhadap multilateralisme dan etos ketamadunannya, "Vasudhaiva Kutumbakam" (Dunia adalah Satu Keluarga), prinsip panduan yang telah membentuk pendekatan India terhadap misi pengaman selama lebih tujuh dekad.
Menurut kenyataan itu, UNTCC Chiefs' Conclave 2025 antara lain bertujuan memperkukuh komitmen kolektif terhadap keamanan dan keselamatan global, mengukuhkan kerjasama misi pengaman melalui dialog serta menggalakkan kebolehoperasian dan pertukaran amalan terbaik.
UNTCC itu juga bertujuan memperkukuh keyakinan terhadap sistem berasaskan peraturan serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan konflik, berusaha untuk memastikan penyertaan lebih besar negara penyumbang pasukan dalam proses membuat keputusan di peringkat PBB, dan memupuk keamanan bagi pertumbuhan kolektif dan inklusif melalui nilai bersama serta kebaikan sejagat.
Negara-negara lain yang turut menyertai UNTCC ialah Algeria, Armenia, Australia, Bangladesh, Bhutan, Brazil, Burundi, Kemboja, Mesir, Ethiopia, Fiji, Perancis, Ghana, Itali, Kazakhstan, Kenya, Kyrgyzstan, Madagascar, Mongolia, Maghribi, Nepal, Nigeria, Poland, Rwanda, Senegal, Sri Lanka, Tanzania, Thailand, Uganda, Uruguay dan Vietnam.
Menurut kenyataan itu, UNTCC juga menonjolkan peranan India sebagai jambatan antara budaya dan benua, sekali gus mengukuhkan kepimpinan moralnya dalam mempromosikan misi pengaman yang lebih inklusif, responsif dan mampan.
"Bagi Tentera Darat India, misi pengaman adalah tanggungjawab ketamadunan yang mencerminkan keyakinan negara bahawa keselamatan dan kemanusiaan mesti bergerak seiring," menurut UNTCC.
Apabila cabaran global menjadi semakin kompleks, UNTCC berkata "perhimpunan" tahun ini akan menjadi lambang kepada tekad bersama serta penghargaan kepada semua anggota pengaman yang terus berkhidmat di bawah panji biru dengan keberanian, belas kasihan dan keyakinan.
UNTCC berkata acara tiga hari itu akan merangkumi sesi pleno dan perbincangan tematik mengenai perkembangan paradigma misi pengaman, sesi panel mengenai operasi berasaskan teknologi serta keselamatan anggota pengaman, selain pertemuan dua hala untuk memperkukuh kerjasama dan kepercayaan bersama.
Ia juga akan merangkumi program interaksi pasangan anggota, yang menekankan dimensi kemanusiaan misi pengaman dan daya tahan keluarga, serta pendedahan kepada keupayaan industri pertahanan tempatan India, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami