Malaysia akan memperuntukkan dana RM500,000 kepada Persatuan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) sebagai sokongan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam perjuangan memerangi rasuah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah ini adalah bukti sokongan Malaysia dan komitmen pemimpin dunia lain dalam usaha memerangi rasuah.

“Kami berharap peruntukan kecil ini menjadi satu permulaan supaya yayasan ini dapat mengumpul dana dalam membantu pejuang rasuah.

“Banyak lagi inisiatif dan polisi perlu diperkenalkan, dan kami tahu ia tidak akan berubah dalam satu semalam. Ini adalah perjuangan kami. Kami mahu Malaysia terkenal dengan integriti, bukan rasuah,” katanya dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, di sini pada Jumaat.

Beliau juga mengingkatkan rakyat bahawa rasuah bukan sesuatu yang boleh diterima, malah perlu dilihat sebagai amalan jijik dan keji. Malaysia boleh menjadi negara 'Harimau Asia' dan mencapai status negara maju jika rakyat menolak segala bentuk amalan rasuah.

“Kami tidak berbangga kerana pada satu ketika dahulu, kami terkenal sebagai negara kleptokrasi. Kami mahu hentikan rasuah, dan apabila masalah rasuah dapat berkurangkan, negara akan ke hadapan,” katanya.

Beliau juga menyambut baik Majlis Penyampaian Anugerah Kecemarlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani yang mengiktiraf individu dan organisasi yang berjuang memerangi rasuah.

Acara ini juga menyaksikan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi majlis tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, untuk kali pertama.

Anurgerah yang disampaikan meliputi empat kategori; Pencapaian Cemerlang/Sepanjang Hayat; Penyelidikan dan Pendidikan Akademik; Inovasi Anti Rasuah; Penglibatan dan Kreativiti Belia.

Senarai penerima Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamin:

Anugerah Pencapaian Kecermerlangan dalam Membanteras Rasuah:

-Nuhu Ribadu (Nigeria)
-Leonard F. Mc.Carthy (Afrika Selatan)

Anugerah Penyelidikan dan Bahan Pendidikan untuk Memerangi Rasuah:

-Dr. Robtel Neajai Pailey (Liberia)
-Prof. Jason Sharman (United Kingdom)

Anugerah Inovasi Anti Rasuah :

-Appala Saripalli dan Sam Erepan dari PNG Phones Against Corruption (Papua New Guinea)
-Dr. Roger Oppong Koranteng (Ghana)

Anugerah Kreativiti Belia dan Interaksi Menentang Rasuah:

-Accountability Lab (Amerika Syarikat)
-Fernanda Angelica Flores Aguirre (Mexico)

Majlis anugerah ini merupakan anjuran oleh Rule of Law and Anti-Corruption Center (ROLACC), Doha Qatar dengan kerjasama United Nations Organisations on Drugs and Crume (UNODC) yang bertujuan untuk mempromosikan kepentingan menangani korupsi di seluruh dunia.