KUALA LUMPUR: Malaysia menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama ASEAN-Kanada dalam bidang teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau, keselamatan makanan, pendidikan, kemahiran digital dan daya tahan iklim.

Menurut Kementerian Luar menerusi laman Facebook rasminya pada Jumaat, perkara itu disuarakan oleh Ketua Pengarah Sekretariat Nasional ASEAN-Malaysia, Datuk Zanariah Zainal Abidin dalam Dialog ASEAN-Kanada ke-22 yang berlangsung pada Khamis (8 Mei) di Vientiane, Laos.

Malaysia turut berkongsi keutamaan selaku Pengerusi ASEAN 2025 yang sejajar dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".

Mesyuarat itu turut membincangkan kerjasama dalam jenayah rentas sempadan, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi, keselamatan siber; pengurusan bencana, pemerkasaan belia dan wanita, perubahan iklim dan pembangunan mampan, pendidikan serta pelancongan.

"Mesyuarat meneliti pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-Kanada (2021 - 2025) serta perkembangan rundingan ke arah Pelan Tindakan ASEAN - Kanada baharu (2026 - 2030)," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian mesyuarat berkenaan turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Myanmar, Palestin dan Ukraine, serta perkembangan di Laut China Selatan.

"Malaysia menegaskan pendiriannya yang konsisten dalam menyokong usaha mempromosi keamanan, kestabilan dan masa depan yang mampan di rantau ini dan peringkat global," menurut kenyataan itu lagi.

-- BERNAMA