Malaysia menerima pelbagai bantuan daripada negara luar dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

“Wisma Putra sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan China dan keakraban ini membuatkan China tanpa ragu menghulurkan bantuan peralatan perubatan seperti topeng muka, hand sanitizer, kit ujian COVID-19 dan peralatan perlindungan untuk penggunaan petugas barisan hadapan.

“Kita juga bekerjasama rapat dengan Kerajaan negara jiran seperti Indonesia bagi berkongsi maklumat serta membantu mengenalpasti rakyat Malaysia yang hadir perhimpunan tabligh di sana baru-baru ini.

“Kita juga berganding bahu dengan Kerajaan Singapura demi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di sana, yang mana sebahagiannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Jaga diri, kekal tenang, duduk di rumah - Hishammuddin

Malah, Hishammuddin berkata Malaysia juga sentiasa berhubung dengan rakan negara di Timur Tengah bagi mendapatkan pertolongan untuk perangi COVID-19.

“Saya secara peribadi, tidak sangka Malaysia akan mendapat bantuan yang sebegini banyak daripada pelbagai negara. Saya percaya, ia bukanlah disebabkan saya Menteri Luar Negeri.

“Tetapi kerana pengiktirafan dan penghormatan mereka di luar sana terhadap Malaysia serta menganggap Malaysia sebagai rakan akrab dalam komuniti antarabangsa,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, Malaysia tidak boleh berasa selesa kerana sikap rakyatnya turut diperhatikan seluruh dunia.

“Tiada gunanya Malaysia menerima pelbagai bantuan, tetapi pada masa yang sama, sebahagian rakyat tidak patuh perintah Kerajaannya sendiri.

“Nasihat saya, kita tiada pilihan selain mesti berdisiplin dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan bersungguh-sungguh,” tambah beliau.