MALAYSIA
Malaysia terima isyarat awal kesepakatan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN - Fadillah

Fadillah menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menerima isyarat awal bahawa semua negara anggota bersetuju untuk memuktamadkan pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Kesepakatan ASEAN untuk laksana Grid Tenaga ASEAN (APG): Semua negara anggota ASEAN bersetuju memuktamadkan pelaksanaan APG melalui MoU yang dijadual ditandatangani Oktober ini di Kuala Lumpur.
- MoU sebagai asas penyelarasan teknikal & kawal selia: Perjanjian akan merangkumi pelarasan sistem tenaga, peraturan rentas sempadan dan model perniagaan mengikut keupayaan setiap negara.
- APG sebagai simbol solidariti & kemampanan tenaga: Malaysia tekankan APG bukan sekadar infrastruktur, tetapi landasan integrasi tenaga boleh baharu dan pengurangan kebergantungan kepada bahan api fosil.
“Kita sudah dapat indication (isyarat) bahawa semua negara ASEAN sudah bersetuju,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di sini, hari ini.
Menurut Fadillah, perkara-perkara teknikal akan diperincikan dalam perjanjian yang akan ditandatangani, sebelum dilaksanakan mengikut keupayaan dan pendekatan setiap negara.
Malaysia sebelum ini turut mencadangkan agar projek APG dihidupkan semula dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN di Vientiane, Laos, tahun lalu.
Cadangan itu menerima maklum balas positif dan kini menjadi antara fokus utama yang dibawa Malaysia sepanjang tempoh pengerusiannya dalam ASEAN.
Fadillah berkata, pelaksanaan APG memerlukan satu standard yang diselaraskan bersama agar sistem pertukaran tenaga merentas sempadan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Ia bukan sekadar visi (tetapi) kita mahu merealisasikan visi itu melalui tindakan, dan dalam tindakan itu, semua pihak perlu turut serta,” katanya.
Semasa menyampaikan ucaptama Fadillah berkata APG bukan sekadar satu projek infrastruktur tetapi simbol solidariti ASEAN.
“Ia adalah simbol solidariti ASEAN dan landasan yang kukuh bagi membolehkan lebih banyak integrasi tenaga boleh baharu, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, serta mewujudkan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menetapkan tema “Menjana ASEAN: Merapatkan Sempadan, Membina Kemakmuran” bagi sektor tenaga.
APG adalah inisiatif serantau untuk menghubungkan sistem tenaga elektrik negara-negara ASEAN.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan keselamatan tenaga, mengukuhkan kesalinghubungan, dan mempromosikan kemampanan tenaga di rantau ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami