Ringkasan AI
- Malaysia masih berusaha mengesan 54 rakyatnya yang hilang selepas bencana banjir di Rasuwa, Nepal walaupun operasi SAR tempatan telah ditamatkan.
- Kedutaan Malaysia di Kathmandu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pusat pendaftaran pendaki untuk meneliti rekod perjalanan serta lokasi terakhir mangsa.
- Kerajaan sedang memohon ordinan khas daripada Nepal untuk memendekkan tempoh pengeluaran sijil kematian bagi membantu waris mengurus urusan rasmi.
KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan usaha mengesan 54 rakyat negara ini yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dahsyat di Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh kerajaan negara itu telah ditamatkan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan pusat pendaftaran pendaki bagi meneliti rekod perjalanan serta maklumat lokasi terakhir telefon bimbit mereka bagi mengesan kemungkinan sebarang perkembangan baharu.
“Kedutaan kita di Kathmandu masih lagi menjalankan usaha menghubungi kerajaan-kerajaan tempatan, menghubungi pusat-pusat, pos-pos (pendakian) tempat orang buat general tracking.
“Kita masih lagi melakukan usaha untuk mengesan sehinggalah nanti pada satu ketika, sudah tidak ada apa-apa lagi ruang untuk kita usahakan di sini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai status terkini rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi ekoran bencana tersebut.
Beliau berkata daripada 5,285 individu yang dikategorikan hilang dan belum dapat dikesan susulan bencana itu, 636 ialah warga asing dari 34 negara termasuk 54 rakyat Malaysia.
Beliau berkata Malaysia menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal dari 5 hingga 11 Sept dengan membawa sembilan dron berkeupayaan tinggi bagi membantu operasi SAR, namun keadaan muka bumi yang curam dan kesan bencana menyukarkan usaha itu.
Kerajaan Malaysia, menurut beliau sedang berusaha mendapatkan ordinan khas daripada Kerajaan Nepal bagi memendekkan tempoh pengeluaran sijil kematian untuk individu yang hilang dalam bencana itu dari 12 tahun kepada 45 hari.
Beliau berkata dokumen itu penting bagi membolehkan waris mengurus tuntutan insurans, akaun bank dan urusan rasmi lain dengan kerajaan kini meneliti kandungan ordinan itu bagi memastikan ia dapat digunakan untuk membantu keluarga rakyat Malaysia terlibat.
Pada 26 Ogos, banjir kilat dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa di Nepal serta kawasan sempadan Nepal-Tibet susulan hujan lebat yang menjejaskan infrastruktur dan komunikasi sehingga menyukarkan operasi SAR.
Sementara itu, Mohamad menggesa rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara supaya mendaftarkan maklumat perjalanan, destinasi dan nombor telefon menerusi aplikasi e-Konsular bagi memudahkan pihak kementerian dan kedutaan menghubungi mereka jika berlaku kecemasan.
Beliau berkata hanya lebih 6,000 individu mendaftar menerusi aplikasi itu sepanjang 2025 walaupun jumlah rakyat Malaysia yang ke luar negara jauh lebih tinggi.
“e-Konsular berfungsi sebagai pusat data atau pusat maklumat dan Kementerian Luar dapat berurusan dengan rakyat Malaysia, khususnya yang menetap di luar negara mahupun yang pergi untuk ziarah atau bercuti di mana-mana tempat.
“Apabila ada maklumat rakyat Malaysia, kita senang berurusan dengan mereka. Apa sahaja yang kita hendak beritahu atau apa kejadian berlaku, kita boleh berhubung dan mereka boleh menghubungi kedutaan kita,” katanya.
Mohamad berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah meningkatkan kadar pendaftaran rakyat Malaysia dalam e-Konsular.
-- BERNAMA