KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi negara pada masa kini amat berbeza dengan situasi yang pernah dihadapi sewaktu Krisis Kewangan Asia pada 1997-98, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, asas-asas ekonomi dan sistem kewangan Malaysia kini jauh berbeza susulan pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan.

Antara lain, katanya, ia termasuk struktur ekonomi domestik yang lebih pelbagai, disokong oleh sistem kewangan yang bemodal baik dan kedudukan luaran yang kukuh.

“Sebagai contoh, pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi, dan kita mempunyai lebihan akaun semasa, didorong oleh eksport yang pelbagai.

"Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3.0 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion pada suku kedua.

“Walaupun kini kita dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan, saya ingin menegaskan bahawa negara kita tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang mahu tahu sekiranya negara sedang mengalami krisis kewangan berikutan nilai Ringgit Malaysia terjunam berbanding dolar AS, kadar inflasi yang kian genting, serta hutang Kerajaan Persekutuan yang meruncing.

Tengku Zafrul berkata, definisi sebenar krisis ekonomi bagi sesebuah negara adalah apabila pertumbuhan KDNK merudum, pengangguran mencanak naik, perniagaan tutup lalu mengakibatkan hutang lapuk yang tinggi dan kesan buruk kepada bank-bank.

Malaysia, jelas Menteri Kewangan itu lagi, pernah mengalami keadaan demikian semasa krisis kewangan pada 1997-98 itu, dan terbaharu, krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wong, Tengku Zafrul berkata, terdapat beberapa langkah yang sedang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani risiko pertukaran wang asing.

Ia termasuk dengan menggunakan instrumen dasar operasi bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing.

“Walaupun BNM tidak menyasarkan sebarang paras kadar pertukaran, BNM berusaha agar tidak berlaku perubahan secara drastik atau melampau dalam nilai ringgit.

“Tindakan ini akan membantu perniagaan merancang, serta melaksanakan keputusan perniagaan dan pelaburan dengan lebih baik,” tambahnya.

Langkah kedua, kata Tengku Zafrul, ialah memastikan institusi perbankan dan syarikat korporat di Malaysia mengambil langkah-langkah kehematan dalam menghadapi risiko pertukaran asing dan melindungi ringgit daripada aktiviti spekulatif.

Langkah tersebut, jelas beliau, dapat mengurangkan risiko perubahan kadar ringgit yang berlebihan.

”Sebagai contoh, BNM telah memperkenalkan instrumen pelindung nilai seperti dynamic hedging bagi menyediakan fleksibiliti agar peserta pasaran kewangan dan sektor perniagaan boleh melaksanakan pengurusan risiko pendedahan mata wang asing dengan lebih baik.

“Selain itu, sebahagian besar hutang luar negeri syarikat adalah dalam bentuk pinjaman antara syarikat berkaitan serta kredit perdagangan,” jelasnya lagi.

Pinjaman itu, kata Tengku Mohd Zafrul, secara umumnya dikenakan syarat yang fleksibel dan pada kadar konsesi atau disokong perolehan eksport mata wang asing.

Selain itu, beliau berkata, BNM juga akan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan akses dan menarik pelabur asing dalam pasaran bon domestik, termasuk usaha menambah baik mudah tunai bon pasaran sekunder serta memperkukuh struktur dan mudah tunai pasaran pertukaran asing.

“Kerajaan juga akan terus menggiatkan usaha mengukuhkan sentimen pelabur asing terhadap Malaysia menerusi pelaksanaan dasar-dasar yang berupaya meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

“Sebagai contoh, kerajaan meningkatkan tumpuan untuk menggalakkan pelaburan ke dalam industri membangun (contohnya industri digital) dan melaksanakan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi,” kata Tengku Mohd Zafrul.

Dengan cara itu, katanya, risiko berkaitan hutang luar korporat juga kekal terurus.