MALAYSIA
RTS Link: Satu tren dijangka tiba di Depoh Wadi Hana hujung September - RTSO

Depoh Wadi Hana bakal menjadi fasiliti penyelenggaraan serta operasi tren RTS Link di Wadi Hana, Johor Bahru, terletak kira-kira satu kilometer ke utara Stesen RTS Link Bukit Chagar. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Tren kedua Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka tiba di Depot Wadi Hana pada hujung September ini selepas selesai menjalani ujian di fasiliti CRRC Batu Gajah, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte. Ltd. (RTSO), Dr. Ahmad Marzuki Ariffin berkata, tren berkenaan merupakan set pertama yang akan dibawa masuk ke depot itu bagi melalui siri ujian seterusnya.
"Tren pertama RTS kini masih berada di Singapura untuk menjalani Ujian Integrasi Sistem Luar Tapak (Offsite Systems Integration Test-OSIT) selepas diperkenalkan semasa majlis pelancaran pada hujung Jun lepas di Singapura.
"Tren itu dijangka dibawa ke Depot Wadi Hana pada separuh kedua November ini," katanya ketika dihubungi Bernama.Depoh Wadi Hana bakal menjadi fasiliti penyelenggaraan serta operasi tren RTS Link di Wadi Hana, di sini, terletak kira-kira satu kilometer ke utara Stesen RTS Link Bukit Chagar, laluan utama yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura.
Secara keseluruhan, projek RTS Link melibatkan lapan set tren, dengan tren kedua hingga kelapan sedang dalam proses akhir pembuatan di fasiliti CRRC Batu Gajah sebelum dihantar secara berperingkat ke Johor Bahru menjelang hujung 2025.
Beliau berkata, setakat akhir Ogos lepas, kemajuan kerja sistem rel mencapai hampir 61 peratus dengan sebahagian besar ujian sistem selesai dijalankan, manakala tumpuan kini kepada kerja pemasangan dan ujian di tapak.
"Berbanding dengan kerja-kerja infrastruktur, perkembangan kerja sistem ini mempunyai perbezaan tersendiri kerana melibatkan aspek teknikal dan integrasi operasi," katanya.
Antara cabaran terbesar ketika ini memastikan penyelarasan kerja berjalan lancar di tapak projek, memandangkan selain RTS Operations, terdapat juga kerja-kerja infrastruktur yang dijalankan serentak.
Projek RTS sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura itu dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027.
Sistem pengangkutan rel itu dijangka mampu membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan jangkaan jumlah penumpang harian kira-kira 40,000 orang.
RTS Operations Pte. Ltd. (RTSO), usaha sama antara Prasarana RTS Operations Sdn. Bhd. dan SMRT RTS Pte. Ltd., pengendali RTS Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura melalui rel rentas sempadan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami