KUALA LUMPUR: Berbeza dengan negara-negara maju, Malaysia tidak mengumpul stok vaksin melebihi jumlah yang diperlukan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kesemua stok yang diterima oleh syarikat pengeluar vaksin akan digunakan sebelum tarikh luput.

“Meskipun kita adalah negara berpendapatan sederhana, kita mengambil bahagian dengan COVAX sejak awal lagi bagi menunjukkan solidariti global.

“Kita juga turut serta dalam pemberian vaksin, seperti yang dilaporkan media beberapa bulan lepas, kita telah mendermakan vaksin ke Bosnia ketika wabak itu mengganas.

“Ketiga, tidak ada pembaziran vaksin di Malaysia, dibandingkan dengan negara-negara maju, di mana kita mendengar berita mengenai vaksin yang telah terbuang yang tidak digunakan selepas tarikh luputnya.

“Semua vaksin di negara kita telah digunakan dan kita tidak mengumpul stok vaksin melebihi yang diperlukan.

“Saya rasa itu adalah perbezaan yang penting, Malaysia menggunakan apa sahaja stok yang kita ada,” kata Khairy dalam sidang media Kementerian Kesihatan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan masih ada rekod tertunggak berkaitan angka kematian COVID-19 yang sedang diselesaikan setakat ini.

Khairy menjelaskan, kadar purata kematian dalam masa tujuh hari adalah lebih tepat untuk dijadikan sebagai rujukan ketika ini.

“Masih terdapat rekod tunggakan, saya akan memaklumkan anda minggu depan mengenai status rekod tunggakan tetapi sudah tentu kita sedang menyelesaikan rekod yang tertunggak itu.

“Jika anda lihat pada kadar purata kes kematian dalam masa seminggu, ia merupakan petunjuk yang lebih tepat mengenai kadar kematian dan kadarnya juga menunjukkan penurunan. Untuk itu, kami berasa sedikit lega bahawa terdapat penurunan.

“Bagaimanapun, saya akan mengemas kini rekod tunggakan itu pada minggu depan. Kami sedang menyelesaikan beberapa perkara untuk memastikan bahawa tunggakan dapat dibersihkan dengan lebih cepat, terdapat beberapa perkara birokratik yang sedang kami fokuskan,” jelasnya.