MALAYSIA
Malaysia, Turkiye tandatangani MoU galak kerjasama institusi kearkiban negara

Satu MoU ditandatangani antara Kementerian Perpaduan Negara dan Direktorat Arkib Negara di bawah Kepresidenan Republik Turkiye, bertujuan menggalakkan kerjasama erat antara kedua-dua institusi kearkiban negara. - Facebook Kementerian Perpaduan Negara
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkiye hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan kerjasama erat institusi kearkiban kedua-dua negara.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu merangkumi bidang penyelidikan, pemeliharaan, dan pendigitalan dokumen sejarah selaras dengan undang-undang serta dasar sedia ada.
"Pemeliharaan dokumen arkib bukan sahaja melibatkan aspek teknikal dan digitalisasi malah mencerminkan penghargaan kita terhadap identiti, nilai dan akar budaya yang membentuk negara bangsa," menurut kenyataan itu.
Menurut KPN pemeterian MoU itu juga bagi menjalankan penyelidikan bersama dan pertukaran salinan semula dokumen arkib, buku, panduan, inventori dan bahan penyelidikan yang diterbitkan.
Selain itu, ia juga mengenai pertukaran kepakaran dalam bidang teknologi moden, pendigitalan dan aktiviti restorasi arkib serta penganjuran bersama mesyuarat ilmiah dan pameran dalam bidang kearkiban serta sumbangan bahan pameran berbentuk salinan dokumen arkib.
KPN memaklumkan kerjasama dua hala itu mencerminkan komitmen bersama dalam memelihara dan memperkaya khazanah warisan sejarah sekali gus menjadi bukti penting kepada tamadun, peradaban dan hubungan diplomatik masa silam.
"Malaysia percaya bahawa akses kepada maklumat sejarah yang sahih akan memperkukuh jati diri rakyat serta memupuk pemahaman merentas budaya dan sempadan," katanya.
MoU itu ditandatangani Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang bagi pihak Malaysia, manakala Pengarah Direktorat Arkib Negara di bawah Kepresidenan Republik Turkiye Profesor Madya Muhammet Ahmet Tokdemir bagi pihak negara itu.
Dalam kenyataan sama KPN berkata delegasi Malaysia berpeluang untuk melawat fasiliti penyimpanan dan makmal arkib Turkiye yang menempatkan dokumen bersejarah dari era Empayar Uthmaniyah, merangkumi lebih 700 kilometer rak penyimpanan dengan 70 peratus daripadanya didigitalkan.
Melalui kerjasama itu, KPN percaya ia akan menjadi asas kukuh dalam memperkaya koleksi arkib negara di samping memperluas jaringan kepakaran serta mendukung usaha pemeliharaan warisan sejarah serantau dan global.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami