PUTRAJAYA: Malaysia dan Uzbekistan memeterai perjanjian lima tahun bertujuan mengukuhkan amalan perangkaan dan memudah cara kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan Agensi Perangkaan Uzbekistan (Agensi Perangkaan), kedua-dua pihak komited untuk memajukan bidang statistik dan meningkatkan kapasiti Sistem Statistik Negara (NSS) masing-masing.

"Dengan komitmen bersama DOSM dan Agensi Statistik, kami yakin bahawa perkongsian ini akan membuahkan hasil dan membawa kepada inisiatif yang sejajar dengan matlamat menyeluruh pembangunan sosioekonomi.

"Kami menantikan hasil positif yang akan dibawa oleh MoU ini kepada kedua-dua agensi dan negara masing-masing," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan semalam di Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, bersempena Suruhanjaya Statistik PBB ke-55 (UN55SC) yang sedang berlangsung dari 27 Feb hingga 1 Mac ini.

UN55SC merupakan sidang kemuncak yang menghimpunkan ketua perangkawan di seluruh dunia.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan memberi tumpuan kepada mengukuhkan keupayaan statistik dengan pertukaran pengetahuan, amalan terbaik dan kepakaran teknikal dalam metodologi statistik menerusi program dan aktiviti latihan bersama.

Mohd Uzir yang mezahirkan keyakinan terhadap kerjasama itu, berkata MoU itu menandakan komitmen kepada kecemerlangan amalan statistik.

"Dengan mengumpulkan pengetahuan dan kepakaran kami, DOSM dan Agensi Perangkaan menyasarkan untuk menyumbang secara signifikan kepada kemajuan keupayaan statistik di negara masing-masing dan di peringkat global," katanya.

Mengulas lanjut, Pengarah Agensi Statistik di bawah Presiden Republik Uzbekistan (Agensi Statistik), Bakhodir Begalov berkata pihaknya teruja dengan peluang yang diperolehi menerusi kerjasama itu.

"Kami percaya bahawa dengan bekerjasama, kami dapat memanfaatkan kekuatan kami dan menyumbang secara bermakna kepada peningkatan sistem statistik, mempromosikan budaya membuat keputusan berdasarkan data," katanya.

-- BERNAMA