KUALA LUMPUR: Ketika rakan sebaya memilih melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau bekerja di pejabat dengan penyaman udara pemuda berusia 20 tahun ini lebih selesa meneruskan legasi bapanya dalam pembuatan kepok kubur.
Aiman Hakim Baharudin yang mesra disapa 'Dikman' mengakui minat terhadap pembuatan kepok kubur itu timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila sering melihat dan membantu bapanya di bengkel keluarga mereka di Paya Jaras di Sungai Buloh dekat sini.
"Pada mulanya saya hanya suka-suka untuk bantu ayah kerana kasihan melihat dia bersusah payah mengangkat kepok (kubur) yang berat, tetapi lama-kelamaan timbul minat. Sejak darjah lima saya sudah mula belajar membuat kepok dan tamat sahaja persekolahan terus sepenuh masa membantu ayah, kini banyak urusan pembuatan kepok ini saya buat sendiri," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Digelar 'Man Kubur' oleh rakan-rakannya, Aiman Hakim tidak pernah menyesal dengan kerjaya pilihannya, malah bersyukur dapat meneruskan legasi bapa dan membantu meringankan beban keluarga mencari rezeki.
"Mula-mula memang sedikit segan, lebih-lebih lagi apabila ada rakan-rakan yang memanggil saya dengan pelbagai gelaran tetapi saya tidak pernah ambil pusing. Saya seronok dengan kerja ini, janji dapat rezeki yang halal dan sekurang-kurangnya ia membuatkan saya insaf serta sentiasa ingat akan mati.
"Ada juga pelanggan yang datang menempah kepok terkejut apabila mengetahui umur saya dan bertanya kenapa tidak sambung belajar atau mencari pekerjaan lain. Bagi saya, perniagaan ini bawa pulangan yang berbaloi walaupun memerlukan saya kerap berada di kubur," katanya yang dapat menghasilkan lima kepok kubur sehari dan turut membantu abangnya memasang kepok di tanah perkuburan di seluruh Semenanjung.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata walaupun pernah menempuh pengalaman seram ketika menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menawarkan khidmat terbaik.
"Antara pengalaman seram yang pernah saya lalui mendapat panggilan tempahan kepok kubur daripada si mati. Bunyinya seperti tidak logik tetapi kejadian itu cukup meremangkan saya," katanya.
Aiman Hakim turut menasihati remaja hari ini agar tidak terlampau memilih kerja sebaliknya menyambut peluang yang datang selain sentiasa percaya pada rezeki.
Sementara itu, abang kepada Aiman Hakim, Irwan Shah, 33, berkata melihat kesungguhan bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan (sebelah mata), yang bekerja sambil membantu golongan memerlukan menyuntik minatnya untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.
"Selepas beberapa tahun makan gaji, pada 2019 saya memilih untuk membantu perniagaan ayah. Saya sudah biasa membuat kerja berat, apabila terjun ke bidang ini ia tidaklah membebankan sebaliknya gembira dengan pilihan ini.
"Niat saya nak menegakkan fardhu kifayah, perniagaan ayah ini banyak kepada (konsep) beramal dan memudahkan golongan yang memerlukan," katanya yang bercita-cita mahu membuka pusat pengurusan jenazah secara percuma yang diusahakan oleh anak-anak muda.
Bagi bapa mereka, Baharudin Hassan, 56, dia memberi kebebasan dan tidak pernah memaksa anak-anak mengikut jejaknya malah sentiasa menyokong minat mereka.
Dia percaya semangat yang kuat serta niat yang betul adalah sumber utama untuk berjaya dalam bidang itu seterusnya memberi inspirasi kepada kesemua anaknya bagi bersama-sama menjayakan perniagaan tersebut.
"Selain Aiman Hakim dan Irwan Shah, dua lagi anak saya turut bersama-sama membantu dalam perniagaan ini. Saya bersyukur, usaha yang saya lakukan selama ini membuahkan hasil dan menjadi pemangkin buat kebahagiaan dalam keluarga kami," katanya yang pernah bekerja sebagai pengutip sampah sebelum berkecimpung dalam bidang pembuatan kepok kubur.
Usahawan yang keluar daripada kelompok asnaf pada 2018 itu, berkata perniagaan yang diusahakan tersebut berkonsepkan bekerja sambil beramal dengan cara memberi tajaan dan diskaun kepada golongan berjasa serta memerlukan.
"Saya selalunya membantu (memberi tajaan kepada) asnaf, OKU ataupun orang yang pernah menaikkan nama negara (pihak yang berjasa termasuk artis)," katanya yang turut berharap semakin banyak pengurusan masjid dapat bekerjasama dengan pihaknya agar lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Apr 26 2024
Aiman Hakim (kanan) bersama abangnya Irwan Shah Baharudin melakukan kerja-kerja memasang batu nisan pada kepok yang disiapkan mereka ketika ditemui di bengkel keluarga di Paya Jaras, baru-baru ini. --fotoBERNAMA
Malaysia sedia jalin kerjasama rapat dengan Arab Saudi dalam bidang tenaga diperbaharui
Malaysia sedia menjalin kerjasama rapat dengan Arab Saudi bagi meneroka potensi usaha sama serta bertukar-tukar ilmu dan pengalaman dalam bidang tenaga diperbaharui.
Kumpulan pro-ganja di Thailand bertemu Menteri Kesihatan
Kumpulan pro-ganja di Thailand berkumpul di Kementerian Kesihatan pada Khamis untuk membantah rancangan kerajaan menyenaraikan semula ganja sebagai dadah.
Jiran suspek bimbang, terkejut
Penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan suspek yang menembak Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, mengakui bimbang dan terkejut, sehari selepas cubaan membunuh yang mendedahkan perpecahan politik di negara itu.
PM Slovakia ditembak: Jiran suspek bimbang, terkejut
Penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan suspek yang menembak Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, mengakui bimbang dan terkejut, sehari selepas cubaan membunuh yang mendedahkan perpecahan politik di negara itu.
[TERKINI] Suspek sudah didakwa atas cubaan membunuh
Penembak itu bertindak bersendirian dan pernah mengambil bahagian dalam protes antikerajaan.
Cabaran penuhi citarasa jemaah dalam peraturan ketat Arab Saudi
Cabaran untuk menepati peraturan dan undang-undang kerajaan Arab Saudi yang lebih ketat berbanding di Malaysia antara kekangan utama buat petugas katering dalam operasi haji musim 1445M/2024 dalam menyediakan 2 juta pek makanan buat jemaah.
Wanita warga emas maut dilanggar kereta mengundur
Seorang wanita warga emas meninggal dunia dilanggar keretanya sendiri yang bergerak dalam keadaan mengundur, dipercayai akibat terlupa menarik brek tangan.
Perodua Masters: Hampir 300 pemain bakal berentap dalam edisi 2024
Biarpun pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 sudah berakhir, namun kejohanan itu tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam Top10 ranking dunia.
Sistem pendidikan harus di depan, terajui digitalisasi
Apa yang dibimbangi ketika ini ialah jika sistem pendidikan mampu bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan khususnya dalam teknologi digital.
Lebih 1,000 individu ditahan di Kelantan
Polis menahan sejumlah 1,488 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu di seluruh Kelantan bagi tempoh 29 April hingga 15 Mei.
'Man Kubur' tolak rasa malu, teruskan legasi ayah hasilkan kepok kubur
Dikman mengakui minat terhadap pembuatan kepok timbul sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila sering membantu bapanya di bengkel.