KUALA TERENGGANU: Terkenal dengan jolokan Giant Killer apabila berjaya menewaskan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sebanyak dua kali di Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar berkata resipi utama kejayaannya ialah mahir berdebat dan berceramah.

"Saya antara pendebat terbaik di universiti, pernah menjuarai kejohanan debat antara universiti pada 1983, jadi saya gunakan bakat itu untuk berceramah masuk kampung, dan apabila berjaya ke Parlimen (jadi wakil rakyat), saya digelar pula 'Singa Parlimen'.

"Apabila berceramah di kampung-kampung atau pusat daerah mengundi (PDM), sesiapa lalu mesti berhenti. Tapi dalam ketegasan, saya berbaik dengan semua orang, semua parti, suka latih diri buat kebajikan dan tak suka 'baloh' (bergaduh) dengan orang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengimbas kenangan ketika kali pertama diangkat menjadi calon Parlimen Marang pada 1986 untuk menentang Abdul Hadi, beliau berkata hal itu merupakan 'sekolah terbesar' dalam kehidupannya dan mengajar beliau untuk terus 'hidup' dalam sepak terajang dunia politik.

"Saya 'dikafirkan', dihina, dicaci dan berhadapan macam-macam ancaman kerana pada waktu itu sesiapa sahaja terutama di Marang tak boleh 'sentuh' Tok Guru (Abdul Hadi), pengaruh beliau sangat kuat dan saya sendiri amat terkejut apabila dicalonkan di kubu kuat beliau kerana masih baharu dalam politik.

"Saya kuatkan semangat dan pendorong utama saya pada waktu itu ialah bapa saya, dia ketua UMNO cawangan Gelugor Kedai masa itu. Bapa kata, dia sanggup jual segala harta benda untuk sokong perjuangan saya," katanya yang akhirnya berjaya mengalahkan Abdul Hadi dengan lebih 600 undi pada usia 34 tahun.

Giant Killer itu pada pilihan raya seterusnya kalah beberapa kali dengan majoriti tipis, namun sekali lagi beliau berjaya menumpaskan tokoh politik PAS itu pada Pilihan Raya Umum 2004, bagaimanapun tidak dicalonkan semula sehingga kini.

Abdul Rahman seorang bekas guru sekolah mengakui, Abdul Hadi sendiri sebenarnya berasa selesa serta senang hati apabila beliau tidak dinamakan sebagai calon.

"Hubungan kami baik kerana kami 'worih' (bersaudara), masa bersembang dia cakap lega kalau saya tak bertanding," katanya sambil ketawa.

Menurut beliau pada peringkat awal, namanya turut tersenarai untuk kembali bertanding di Parlimen Marang pada PRU15, namun kepimpinan parti memilih Timbalan Ketua UMNO Bahagian Marang Jasmira Othman sebagai calon.

"Saya tiada masalah, insya-Allah saya akan bantu jentera untuk menangkan beliau, dah atur program pun untuk perkenal Jasmira kepada orang-orang kampung. Politik ini bukanlah pusaka, ia hak orang ramai," katanya yang turut menyarankan agar semua calon menggunakan media sosial secara optimum kerana platform itu ialah medan terbaik untuk berkempen, sesuai dengan peredaran zaman.

Selain itu, beliau turut memberi tip supaya setiap calon berusaha untuk mendekati dan berjumpa dengan seberapa banyak pengundi di kawasan masing-masing.

"Sekurang-kurangnya kena jumpa separuh daripada pengundi, kalau ada 130,000 pengundi kena jumpa lebih 60,000 pengundi. Pergi masjid, surau dan dekati anak muda termasuk mat motor," katanya yang bukan sahaja menjadi rujukan calon BN, malah turut 'dicari' calon parti lain yang akan bertanding di Terengganu terutama bagi kerusi Marang.

Katanya, landskap politik kini telah berubah dan ia terbukti apabila hampir kesemua Parlimen Terengganu pada kali ini akan menyaksikan pertarungan empat penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), PAS, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di bawah Gerakan Tanah Air (GTA).

Tidak seperti dahulu, beliau berkata negeri itu biasanya hanya menyaksikan 'pertempuran' antara PAS dengan BN, namun kali ini kemasukan PH dan GTA tidak boleh dipandang enteng dan mana-mana parti yang mahu menang perlu bekerja keras.

-- BERNAMA