KUALA LUMPUR: Selepas tular video seorang lelaki didakwa 'memperlekeh' warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur hingga mendapat kecaman netizen, ada perkembangan lain pula selepas itu.

Lelaki yang mencetus kemarahan warga maya itu telah dikenakan kompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, lelaki terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira kira jam 5.20 petang Rabu.

"Individu di dalam video tersebut telah dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berkaitan insiden di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang.

"Dalam hal ini, polis Dang Wangi telah mengeluarkan kompaun kepada individu tersebut sebanyak RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka semasa berada di pusat tersebut," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Kesalahan itu melanggar Peraturan 17 (1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit menyampaikan ceramah motivasi bertajuk 'Ubah Hidup' kepada 20 orang gelandangan di pusat transit berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi Selasa.

Video berdurasi 49 saat itu bagaimanapun telah tular di laman sosial sekali gus menjadi bukti bahawa lelaki terbabit tidak memakai pelitup muka sewaktu berdepan dengan warga emas di pusat transit berkenaan.