Mandat MITRA untuk masyarakat India tidak berubah - Ramanan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan bercakap pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mandat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kekal sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat India melalui pendekatan intervensi strategik.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata penyaluran peruntukan MITRA kepada agensi pelaksana lain bukanlah satu penyimpangan daripada mandat, sebaliknya merupakan mekanisme kerjasama rentas agensi yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Program inisiatif yang diluluskan Perdana Menteri bersifat intervensi, bertujuan menyelesaikan isu mendesak serta memerlukan tindakan rentas kementerian termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, kerohanian dan peningkatan kemudahan asas komuniti India," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menambah pelaksanaan program itu adalah usaha Perdana Menteri memastikan peruntukan MITRA sepenuhnya sampai kepada masyarakat India dan bukannya kepada organisasi atau individu tertentu.
"Justeru, saya ingin menegaskan bahawa peruntukan MITRA 100 peratus digunakan untuk manfaat masyarakat India sahaja. Tiada satu sen pun digunakan bagi program kementerian lain yang tidak melibatkan masyarakat India.
"Setiap ringgit kekal sebagai peruntukan MITRA dan setiap penerima bantuan adalah daripada kalangan masyarakat India, selaras dengan mandat yang telah ditetapkan kerajaan," katanya.
Ramanan juga menegaskan bahawa peruntukan pembangunan untuk masyarakat India di negara ini tidak terhad kepada RM100 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan sahaja, sebaliknya turut merangkumi pelbagai peruntukan lain yang disalurkan melalui kementerian dan agensi, yang memberi manfaat kepada semua kaum.
Antara kementerian yang turut menyediakan peruntukan tersebut termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta badan-badan lain yang melaksanakan program pembangunan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


