KUCHING: Rakyat Malaysia diseru memanfaatkan platform media sosial dengan berkongsi perkara yang membawa kebaikan dan tidak memberi penekanan kepada isu perkauman yang boleh menggugat keharmonian negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengamal media turut tidak terkecuali dalam memainkan peranannya menerusi penulisan berita-berita positif, sekali gus menjadi wakil kepada suara majoriti yang menegakkan nilai perpaduan, selari dengan konsep Malaysia Madani.

"Memang benar perpaduan di Malaysia seperti rapuh...Saya seru kepada masyarakat Malaysia agar sentiasalah cakap yang baik-baik dan lihat kepada sudut pandang positif supaya suara negatif itu 'hilang'.

"Suara majoriti yang mahukan keamanan perlu dibangkitkan di media sosial. Kalau ada perkara negatif dikongsi dalam media sosial, jadi kitalah yang perlu ketengahkan hal yang baik...rakan media pun main peranan, ini tanggungjawab kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jiwa Madani Jalinan Kasih Ramadan anjuran Jabatan Penerangan Sarawak (JaPen) di Surau Darul Naim, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 30 asnaf dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Samariang, Tupong dan Satok menerima agihan sumbangan berbentuk barangan makanan asas serta keperluan harian.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen Suwadi Guliling, Pengarah JaPen Sarawak Helmy Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong1 Fazzrudin Abdul Rahman.

-- BERNAMA