Jangan mensia-siakan bakat pereka cipta muda tempatan khususnya mereka yang berminat dalam bidang pengurusan sisa dan kitar semula, sebaliknya manfaatkan bakat mereka sepenuhnya bagi memacu masa depan yang positif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pemain utama bidang pengurusan sisa seharusnya turut sama menaja program kitar semula di sekolah-sekolah agar program tersebut dapat dipertingkat dan lebih maju.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis anjuran Yayasan Pendidikan Cheras bagi meraikan Muhammad Harraz Nazhan Mohd Yusni, 16, dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah Kuala Lumpur yang merangkul Anugerah Emas dan Khas di Persidangan Muda Saintis Asia Pasifik 2019 di Sakha Junior Science Academy di Yakutsk, Rusia, pada Oktober tahun lepas, untuk projeknya yang bertajuk 'Converting Unused Wood into Functioning Timber' (Menukar Kayu Tidak Digunakan menjadi Kayu Berfungsi).

"Saya amat kagum dengan pelajar Tingkatan Empat ini. Daripada sesuatu yang tidak boleh digunakan lagi ke sesuatu yang berfungsi, saya belum lagi tengok projek itu dan selepas saya tengok nanti jika ia sesuai, kita akan cuba cari cara untuk manfaatkan ciptaannya.

"Ia mungkin boleh diguna dalam program-program kitar semula di bawah KPKT yang menjaga pengurusan sampah dan mengitar semula sampah dan bahan yang tidak digunakan dan malah mungkin kita bangunkannya untuk digunakan di sekolah, komuniti dan sebagainya," kata Zuraida.

Menurut beliau, program kitar semula yang serius di sekolah-sekolah juga boleh memberi wang saku tambahan kepada pelajar, terutamanya pelajar dalam kalangan kumpulan B40.

Pada masa yang sama, beliau menyarankan rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 untuk menukar sampah menjadi wang tunai sebagai cara untuk membantu menambah pendapatan mereka, kerana ada punca rezeki daripada sampah seperti menghasilkan baja pokok daripada sisa makanan serta barangan yang boleh dikitar semula seperti besi, tin, kertas dan plastik.

Katanya, segelintir penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan B40 sangat berjaya dalam menjual produk kitar semula dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.

"Orang boleh menjana pendapatan daripada industri sampah ini. Oleh itu, kita harus mendorong rakyat kita untuk menghargainya. Semudah mengumpulkan sampah dan mendapatkan wang daripada itu.

"Kementerian mempunyai program yang mengajar penduduk di PPR cara untuk mengitar semula, bagaimana untuk mengumpul dan melakukan penguraian makanan, dan seterusnya menghasilkan pendapatan daripada itu," katanya.

-- BERNAMA