KUCHING:Perayaan Tahun Baharu Cina perlu disambut dengan penuh makna walaupun negara berdepan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keterbatasan garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bukan penghalang untuk masyarakat Tiong Hua berkongsi semangat tahun baharu itu.

Katanya, platform digital dan teknologi harus dimanfaatkan dalam keterbatasan serta norma baharu itu.

"Walaupun kita tidak dapat bersama dengan ahli keluarga dan rakan-rakan dari dekat dan jauh, kita dapat terus mengeratkan silaturahim dengan berhubung menggunakan panggilan video serta sosial media.

"Semua teknologi ini memudahkan semua pihak untuk saling mengingati ketika musim perayaan ini," katanya pada perutusan Tahun Baharu Cina 2021.

Dalam pada itu, Awang Tengah optimis kehidupan masyarakat akan kembali seperti sedia kala selepas penerimaan vaksin COVID-19.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah membuat komitmen untuk memastikan bahawa setiap rakyat Sarawak akan diberi vaksin itu secara percuma.

Selain itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) berkata, kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai bantuan kewangan kepada semua pihak yang terjejas akibat COVID-19.

"Selain bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), PENJANA dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), kerajaan negeri juga meneruskan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0," katanya.