Berita Terkini ASEAN25: Trump tiba di Malaysia, sempat bermesra dengan barisan penari di Kompleks Bunga Raya

Menariknya, Trump sempat bermesra dan menari dengan barisan penari Malaysia yang telah bersedia di dataran untuk menyambut ketibaan beliau. - foto REUTERS/Hasnoor Hussain/Poo
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 yang berlangsung selama dua hari.
Pesawat Air Force One itu mendarat sekitar jam 9.54 pagi, dan ketibaan Trump disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Duta Besar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan.
Menariknya, Trump sempat bermesra dan menari dengan barisan penari Malaysia yang telah bersedia di dataran untuk menyambut ketibaan beliau.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan Asia beliau (Trump) yang turut merangkumi Jepun dan Korea Selatan.
Di Malaysia, beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membincangkan isu perdagangan, keselamatan serantau dan kerjasama rakyat-ke-rakyat.
Antara agenda utama ialah penandatanganan dokumen kerjasama perdagangan dan keselamatan, serta penglibatan Trump dalam perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand yang dijangka dimeterai semasa sidang kemuncak.
Kehadiran Trump ke Malaysia dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan Amerika Syarikat dengan rantau Asia Tenggara, khususnya dalam konteks ketegangan geopolitik global dan persaingan kuasa besar.
AWANI akan membawakan liputan langsung dan analisis mendalam sepanjang lawatan ini, termasuk perkembangan sidang kemuncak dan impaknya terhadap Malaysia serta rantau ASEAN.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

