Mangsa banjir cecah 10,750 orang di lapan negeri setakat 6 pagi Isnin

Keadaan jalan yang dinaiki air di Kok Mak, Padang Besar. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,750 orang setakat jam 6 pagi ini, melibatkan lapan negeri yang terjejas, menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ringkasan AI
- Jumlah mangsa banjir di Malaysia merangkumi 10,750 orang daripada lapan negeri yang terjejas, menurut Info Bencana JKM.
- Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 8,231 mangsa ditempatkan di 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa daerah termasuk Tumpat dan Kota Bharu.
- Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Sarawak juga menghadapi kesan banjir dengan mangsa yang dipindahkan ke pelbagai PPS; pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan.
Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 907 mangsa berlindung di 16 PPS yang dibuka di Perak Tengah, Manjung, Larut, Matang dan Selama serta Batang Padang.
Terengganu pula merekodkan 360 mangsa yang dipindahkan ke dua PPS di daerah Besut, manakala Kedah mencatatkan 337 mangsa di tiga PPS di daerah Kulim.
Di Perlis, seramai 600 mangsa banjir daripada 189 keluarga telah dipindahkan ke empat PPS di sekitar Padang Pesar susulan limpahan air sungai yang berlaku akibat hujan berterusan sejak Ahad.
Empat PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan FELCRA Lubuk Sireh, Sekolah Kebangsaan FELDA Mata Ayer, Dewan Semai Bakti FELDA Mata Ayer dan Masjid Nurul Husna di Wang Kelian.
Pulau Pinang pula melaporkan 237 mangsa berlindung di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Sementara itu, Selangor mencatatkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga yang kini berada di satu PPS di Sabak Bernam.
Di Sarawak, seramai 44 mangsa dilaporkan terjejas dan ditempatkan di satu PPS di daerah Miri.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di kawasan berisiko, selain menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


