KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang menunjukkan trend penurunan dengan 891 orang berlindung di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3.43 petang ini berbanding 1,842 orang di 18 PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah itu meliputi 708 mangsa daripada 197 keluarga yang berlindung di lapan PPS di lima daerah di Johor dan 183 mangsa daripada 61 keluarga ditempatkan di empat PPS di dua daerah di Pahang.

Di Johor, 349 orang berlindung di dua PPS di daerah Mersing, 150 orang di dua PPS di Kota Tinggi, 98 orang di satu PPS di Kluang, 88 orang di dua PPS di Segamat dan 23 orang di sebuah PPS di Batu Pahat.

Di Pahang, sebanyak 143 orang ditempatkan di dua PPS di daerah Rompin, manakala 40 orang di dua PPS di Pekan.

Dalam pada itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Terengganu berada pada paras bahaya petang ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Muar di Segamat dan Sungai Endau di Kluang, di Pahang membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin, Sungai Perak di Hulu Perak (Perak), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah) dan Sungai Terengganu di Kuala Terengganu (Terengganu).

Sementara itu, NADMA memberitahu terdapat 46 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Johor, Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terengganu.

NADMA turut memaklumkan sejumlah 47 orang daripada 12 keluarga masih kekal berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah, manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga juga ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak ekoran insiden kebakaran.

-- BERNAMA