KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor meningkat kepada 42,706 orang manakala Melaka menurun, dan Pahang serta Sarawak tidak berubah setakat petang ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 42,706 orang berbanding 42,638 yang direkodkan pada 8 pagi tadi, susulan peningkatan mangsa di daerah Batu Pahat dan Muar.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan seramai 12,047 keluarga masih ditempatkan di 152 PPS yang beroperasi di empat daerah yang terjejas akibat bencana itu.

Menurut JPBN, Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 39,944 orang; Muar (1,476 mangsa) ; Tangkak (949) dan Segamat (337 orang)," menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan petang ini.

Empat sungai di Batu Pahat masih melepasi aras bahaya iaitu Empangan Bekok di Sungai Bekok yang kini berada pada paras 19.57meter (m); Sungai Senggarang di Senggarang dengan bacaan 3.59m; Sungai Simpang Kiri di Sri Medan (2.45m) dan Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong ( 2.01m) serta Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.91m).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 166 mangsa daripada 36 keluarga pada 2 petang ini berbanding 238 daripada 55 keluarga pada 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat membabitkan sembilan mangsa daripada satu keluarga.

"Sebanyak 100 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu dan 57 mangsa daripada 12 keluarga di SK Batu Gajah manakala SK Sungai Rambai dan SK Parit Gantong masing-masing ditutup pada 9 pagi dan 11 pagi tadi," menurut kenyataan itu.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir di daerah Rompin tidak berubah dengan 169 orang masih ditempatkan di dua PPS.

PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Aur menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga manakala 107 mangsa daripada 35 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan Leban Chondong.

Di SARAWAK, menurut laporan Sekretariat JPBN Sarawak, jumlah mangsa banjir kekal seramai 91 mangsa daripada 18 keluarga melibatkan kawasan Kuching di PPS Dewan Sinaran Lumut dan PPS Dewan Kampung Sungai Bedaun.

-- BERNAMA