Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Pahang meningkat semula kepada melebihi 5,600 orang.

Ia mencatatkan peningkatan berbanding petang Selasa di mana jumlahnya menurun kepada 5,300 orang.

Di Kelantan seramai 3923 mangsa ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara.

Angka berkenaan dijangka terus bertambah berikutan peningkatan paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang yang telah melepasi paras bahaya.

Manakala Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah mencatat paras bahaya.

Pasir Mas paling teruk terjejas di mana 2,096 mangsa dipindahkan.

Dalam perkembangan yang sama, situasi di Pahang terus membimbangkan dengan jumlah mangsa banjir terus meningkat.

Lebih 2,375 orang ditempatkan di 15 pusat pemindahan di sekitar Kuantan, Rompin dan Pekan.

Ekoran kenaikan paras air, 11 jalan di dua daerah terpaksa ditutup.

Ia membabitkan sembilan di Kuantan dan dua di Jerantut.