KUALA LUMPUR:Banjir di Kelantan dan Pahang terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa manakala situasi banjir di Terengganu beransur pulih.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan meningkat kepada 323 orang sehingga pukul 5 petang ini berbanding 283 orang pada sebelah pagi tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jajahan Tanah Merah dan Pasir Mas menjadi jajahan yang terbaharu terjejas banjir selepas Kota Bharu dan Pasir Puteh, dengan kini 11 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berbanding sembilan PPS pagi tadi .

Daripada jumlah itu, seramai lapan mangsa daripada dua keluarga di tempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual, Pasir Mas manakala di Tanah Merah, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Padang Kijang.

Di Kota Bharu seramai 84 mangsa daripada 17 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala di Pasir Puteh mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 219 orang dengan enam PPS dibuka.

Pertambahan jumlah mangsa banjir ini berikutan kesan hujan lebat sejak pagi semalam.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 5 petang ini menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.26 meter (m) (bahaya 9 m) namun ia adalah pada trend menurun.

Di Pahang, portal Info Bencana JKM melaporkan lima PPS dibuka di Raub setakat 4 petang, bagi menempatkan 109 mangsa daripada 34 keluarga berbanding 55 mangsa daripada 19 keluarga pagi tadi.

SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 orang daripada 11 keluarga daripada Kampung Sungai Ulu, diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (38 orang daripada 12 keluarga), Balai Raya Kampung Sengkela (12 orang daripada empat keluarga), SK Tersang (11 orang daripada tiga keluarga) dan Balai UMNO Kampung Batu Talam (enam mangsa daripada empat keluarga).

Tinjauan Bernama di Raub mendapati banjir yang bermula awal pagi tadi mulai surut, tetapi mangsa banjir dinasihatkan untuk terus kekal di PPS sebagai langkah berwaspada memandangkan hujan masih renyai, selain untuk mengelakkan mereka perlu berpindah untuk kali kedua.

Sementara itu laman rasmi Jabatan Parit dan Saliran (JPS) (publicinfobanjir.water.gov.my) melaporkan paras air Sungai Lipis di Batu Malim yang melimpah sehingga menyebabkan banjir di Raub setakat 4 petang ini, berada di paras amaran iaitu 114.61 meter (m) berbanding paras normal 113.20m, menunjukkan trend menurun daripada aras bahaya yang direkodkan pagi tadi.

Selain Sungai Lipis, turut berada di paras amaran ialah Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong iaitu pada paras 52.57m manakala dua lagi sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran iaitu 00.85m melebihi paras waspada 29m serta Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera iaitu 29.79m berbanding paras normal 28.20m.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa berkurangan kepada 2,130 orang daripada 550 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 2,802 orang daripada 781 keluarga 8 pagi tadi.

Penurunan jumlah mangsa itu ialah susulan penutupan 18 PPS menjadikan jumlah terkini ialah 58 PPS berbanding 76 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata penutupan PPS terbanyak ialah di Setiu iaitu 12 PPS diikuti Besut (tiga) dan masing-masing satu di Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Data JPS pula menunjukkan dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu setinggi 21.21m (paras bahaya 21m) dan Sungai Tebak di Kemaman setinggi 18.54m (paras bahaya 18.5m).

-- BERNAMA