KUANTAN: Pahang terus mencatat peningkatan mangsa banjir apabila seramai 2,860 orang daripada 835 buah keluarga kini ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan empat daerah sehingga jam 8 malam ini.

Berbanding pada jam 4 petang tadi, seramai 2,641 orang mangsa daripada 816 buah keluarga ditempatkan di 21 buah PPS di lima daerah negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman berkata, peningkatan itu berikutan bertambahnya jumlah pemindahan mangsa di Rompin, iaitu seramai 2,496 orang daripada 723 buah keluarga yang berlindung di 20 PPS.

"Di Temerloh, mangsa banjir seramai 306 orang daripada 99 buah keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan.

"Maran juga turut menunjukkan peningkatan jumlah mangsa banjir, iaitu seramai 29 orang daripada enam buah keluarga ditempatkan di PPS balai raya Kampung Baru Pertanian, manakala Bera masih mengekalkan 29 orang mangsa daripada tujuh buah keluarga di PPS dewan Kampung Pasal," katanya dalam kenyataan pada jam 8 malam hari ini.

Menurut Che Adam, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak, Tekam, Jerantut mula ditutup pada pukul 7.30 malam hari ini dan seramai 10 orang mangsa daripada tiga buah keluarga telah dibenarkan pulang berikutan keadaan banjir pulih.

"Namun mangsa yang telah pulang ke rumah sejak semalam dan hari ini akan terus dipantau dari semasa ke semasa memandangkan negeri ini masih dalam fasa Monsun Timur Laut dan penduduk di pesisir sungai di 11 buah negeri diminta berwaspada dan sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Adam berkata, cuma tiga batang sungai di negeri menunjukkan amaran bahaya, iaitu Sungai Triang di Triang merekodkan aras 34.67 meter, diikuti Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (19.57 meter) dan Sungai Pahang di Paloh Hinai (10.73 meter).

"Tiga batang sungai utama lagi di Raub, Bera dan Maran menunjukkan aras amaran, manakala enam batang sungai di Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan pada tahap waspada dalam keadaan trend menurun," katanya.

Beliau juga menjelaskan, berasaskan laporan Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia), hujan turun lebat turun sepanjang hari mulai petang hari ini hingga ke malam esok di 11 buah daerah negeri ini.