KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Sabah terus meningkat manakala di Johor menurun dan Sarawak kekal setakat 8 malam ini.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin malam ini meningkat kepada 323 orang daripada 97 keluarga yang berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 320 orang (96 keluarga) petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan PPS Kampung Setajam mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 161 mangsa manakala PPS Balai Raya Rekoh menempatkan 122 mangsa dan PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 mangsa.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan PPS Balai Raya Perwira Jaya yang mula dibuka pada Selasa ditamatkan operasi selepas semua tujuh mangsa (dua keluarga) dibenarkan pulang petang tadi.

Laman sesawang portal rasmi info banjir JPS, publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 24.97 meter (m) malam ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di tiga daerah bertambah dengan jumlah keseluruhan 6,394 orang (2,281 keluarga) masih ditempatkan di 24 PPS, berbanding 6,331 orang (2,168 keluarga) petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu mangsa banjir teramai adalah di Kota Marudu dengan 4,789 orang (1,731 keluarga) ditempatkan di 12 PPS di daerah tersebut.

"Seramai 1,133 orang (423 keluarga) ditempatkan di empat PPS di Pitas, manakala 472 orang (127 keluarga) dipindahkan ke lapan PPS di Paitan. Jumlah mangsa banjir di Pitas dan Paitan dijangka meningkat, manakala di Kota Marudu dijangka kekal," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, mangsa banjir di dua daerah iaitu Kudat dan Lahad Datu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala tiga PPS di daerah itu telah ditutup pada pukul 8 malam ini.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan dikeluarkan pada pukul 6.35 petang meramalkan ribut petir malam ini di kawasan pedalaman bawah Sabah antaranya Sipitang, Tenom dan Nabawan.

Di JOHOR, jumlah mangsa di PPS terus menurun kepada 4,575 orang setakat 8 malam ini berbanding 5,427 orang, petang tadi.

JPBN memaklumkan sebanyak 48 PPS masih beroperasi di tujuh daerah yang menempatkan 1,266 keluarga.

Mersing kini menjadi daerah paling teruk terjejas dengan melibatkan mangsa seramai 1,589 orang, diikuti Kluang (1,173 orang), Kota Tinggi (857 orang), Segamat (490 orang), Batu Pahat (327 orang), Muar (121 orang) dan Pontian (18 orang).

Sementara itu, paras air di empat sungai di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat dengan bacaan 19.28 m; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.82 m); Sungai Endau, Mersing (2.77 m); manakala Sungai Lenik Ladang Chaah, Segamat (7.14 m).

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir kekal 56 orang (17 keluarga) yang ditempatkan di dua PPS terletak di daerah Lundu dan Sematan, setakat 7 malam ini.

Menurut JPBN, dua PPS berkenaan iaitu SK Sebat dan Balai Raya Kampung Sebat Dayak masing-masing menempatkan 39 dan 17 mangsa.

MetMalaysia hari ini meramalkan ribut petir berlaku malam ini di beberapa kawasan di Sarawak antaranya Kuching, Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

-- BERNAMA