Mangsa banjir di Perak meningkat lebih 100

Bernama
Jun 8, 2019 15:12 MYT
Banjir di Hilir Perak sejak Jumaat melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Batu 7 1/2 , Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9. - Foto ihsan APM
Sejumlah 141 orang daripada 34 keluarga yang terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat di dua daerah di Perak masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata bagi Daerah Hilir Perak, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 100 orang melibatkan 25 keluarga pada 2.30 petang tadi kepada 127 terdiri daripada 32 keluarga setakat pukul 9 malam ini.
Katanya semua penduduk yang terjejas dengan bencana alam itu kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.
BACA: Mangsa banjir di Teluk Intan meningkat mendadak
"Hujan lebat petang tadi menyebabkan paras air naik sehingga kira-kira empat kaki atau 1.12 meter. Bagaimanapun, cuaca pada malam ini bertambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.
Banjir di Hilir Perak sejak semalam melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Batu 7 1/2 , Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.
BACA: Jumlah mangsa banjir dipindahkan di Teluk Intan meningkat
BACA: Banjir di Teluk Intan: 57 mangsa dipindahkan
Sementara itu, Zairil Anuar berkata jumlah mangsa banjir di Daerah Kampar setakat pukul 9 malam ini kekal seperti semalam iaitu 14 orang terdiri daripada dua buah keluarga.
Katanya semua mangsa dari Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang.
-- BERNAMA
#air #angkatan pertahanan awam #APM Perak #banjir #bencana alam #Hilir Perak #hujan lebat #Kampar #kampung #mangsa #mangsa banjir #PPS #pusat pemindahan #Sekolah Kebangsaan Changkat Jong #Teluk Intan #Zairil Anuar Zulmuji