KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak terus meningkat dengan mencatatkan 1,108 mangsa yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 9 pagi ini.

Di SELANGOR, sebanyak 768 orang daripada 196 keluarga berlindung di sembilan PPS, meningkat berbanding 722 orang daripada 184 keluarga malam tadi melibatkan mangsa banjir dari daerah Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Kuala Langat.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir melaporkan setakat 7.30 pagi tadi Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi paras bahaya, namun dengan trend air menurun, manakala Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor melepasi tahap berjaga-jaga dengan trend air meningkat.

Sementara itu di PERAK, sejumlah 340 mangsa banjir daripada 99 keluarga kini ditempatkan di empat PPS, meningkat berbanding 310 orang daripada 91 keluarga pada sebelah malam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan 186 mangsa adalah di daerah Hilir Perak, manakala 154 lagi dari daerah Kerian.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu 4.18 meter (m), manakala dua lagi sungai berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang 13.66 m dan Sungai Slim di Slim River (25.11 m).

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan berikutan itu, laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan jalan alternatif.

-- BERNAMA