KOTA KINABALU: Jumlah keseluruhan mangsa terjejas akibat banjir di Sabah meningkat kepada 4,722 orang setakat pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata sebanyak 40 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di daerah Beaufort dan Tenom susulan trend pemindahan mangsa yang masih meningkat.

Daerah Tenom terus mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 484 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Sri Ontoros.

Beberapa buah PPS di daerah ini masih menjalankan proses pendaftaran mangsa oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

Antara PPS yang masih aktif pada ketika ini ialah Dewan DSP DUN Banir (238 mangsa) dan Dewan Selagon (188 mangsa) di Beaufort, serta Rumah Kebudayaan Belumbung Seberang, Tenom (339 mangsa).

Setakat ini, sebanyak 138 kampung di Beaufort dan Tenom terjejas akibat banjir di kedua-dua daerah.