MALAYSIA
Mangsa banjir di Sabah terus meningkat, di Sarawak kekal

Kesemua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah semakin meningkat kepada 3,325 orang daripada 964 keluarga petang ini berbanding 3,134 orang daripada 916 keluarga pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.
"Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Penampang dan Papar menunjukkan trend peningkatan manakala di Beaufort, Membakut dan Sipitang jumlah mangsa kekal, sementara di Putatan berkurang.
"Setakat ini 128 buah kampung terjejas akibat bencana banjir yang melanda Sabah sejak 9 Sept lepas," menurut kenyataan itu.Sementara itu, di Sarawak, JPBN memaklumkan 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi setakat 4 petang ini.
Setakat ini, dua stesen aras air sungai iaitu di Marudi dan Long Teru turut dilaporkan berada pada tahap bahaya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami