Mangsa banjir di Bukit Mertajam bukan saja menanggung kerugian ribuan ringgit ekoran barangan banyak rosak akibat banjir yang melanda rumah mereka, malah sering gusar setiap kali hujan lebat lebih sejam, kerana rumah mereka akan dimasuki air.

Penduduk turut mendakwa air banjir bukan sahaja cepat masuk ke dalam rumah, malah ia turut membawa lumpur sehingga menyebabkan mereka tidak dapat tidur dengan lena, setiap kali hujan lebat.

Selain itu, penduduk turut mendakwa kawasan yang tidak pernah dilanda banjir turut dinaiki air hingga hampir satu meter dalam kejadian banjir minggu lepas.

Seorang mangsa banjir, Rahimah Mohd Noor, 55, berkata beliau sekeluarga kerugian lebih RM5,000 selepas pelbagai barangan elektrik dan rumah rosak, akibat banjir kilat yang melanda rumahnya dua kali dalam tempoh seminggu sejak Selasa lepas.

"Sebelum ini kawasan rumah kami di Padang Lalang jarang berlaku banjir kilat tapi kali ni hujan lebat lebih dua jam sahaja, air terus masuk dalam rumah... air cepat sangat naik sampai paras paha saya, memang tak sempat nak selamatkan apa-apa," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Rabu.

Rahimah berkata air banjir itu turut membawa bersama lumpur dan dia bersama suami serta tiga anak mengambil masa lima jam untuk membersihkannya.

Seorang lagi mangsa, Habibah Ahamad, 45, berkata setiap kali hujan lebat beliau mula gusar kerana air akan masuk ke dalam rumah dan minggu lepas dua kali kediamannya di landa banjir kilat.

"Habis peti ais rosak, dinding rumah pun banyak lekang...bila hujan lebat sampai air akan masuk ke dalam rumah, dulu tak macam ni sekarang ni sangat mudah berlaku banjir, penat mengemas belum abis, datang lagi banjir," katanya yang tinggal di Padang Lalang.

Beliau berharap pihak berkuasa terutama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat itu terutama menyelenggara sistem perparitan dengan baik yang di percayai antara punca berlaku banjir.

Manakala Mohd Roslan Md Isa, berkata rumahnya dilanda banjir kilat lima hari berturut-turut pada sebelah petang dan malam sehingga beliau sekeluarga letih membersihkan kediaman mereka di Taman Amra, Bukit Minyak itu.

"Pagi cuci rumah tapi bila lewat petang dan malam air akan masuk semula ke dalam rumah kerana hujan lebat, lima hari juga lah dok buat benda sama, pagi cuci petang banjir, air masuk rumah sampai letih dah nak basuh rumah.

Basah dan rosak habis barangan kiranya rugi banyak jugalah banjir kali ni," katanya yang kerugian lebih RM6,000.

-- BERNAMA