KOTA BHARU: Ejen jualan kosmetik dari Kelantan yang menjadi mangsa culik sebelum diselamatkan di Thailand masih berada dalam pengawasan polis dan dijangka dibenarkan pulang tidak lama lagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata semua pihak termasuk keluarga wanita itu diharap bersabar dan memahami situasi mangsa ketika ini.

"Saya berharap keluarga mangsa, kenalan, orang ramai dan media memahami situasi yang dilalui mangsa dalam kes tersebut.

"Ia antara lain melibatkan prosedur yang berkait dengan negara jiran.

"Bahkan siasatan masih dijalankan dan diteruskan dengan melihat pelbagai aspek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dua hari lalu, mangsa yang berusia 36 tahun diselamatkan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi mangsa di negara itu.

Dalam kejadian 13 September lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Tumpat pada 5.10 petang.

Mangsa kemudian dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki berkata, keluarga mangsa tidak perlu bimbang  kerana dia berada dalam keadaan baik dan sihat.

"Insya-Allah, jika semuanya selesai (proses siasatan) mangsa akan dibawa pulang dalam sedikit masa lagi," katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki sekali lagi mengingatkan semua pihak termasuk pengamal media supaya tidak melaporkan perkara berkaitan kes itu berdasarkan sumber tidak tepat.

"Laporan dari sumber yang tidak dinyatakan atau berbentuk spekulasi tidak membantu siasatan, sebaliknya akan menimbulkan kekeruhan  apatah lagi membabitkan pihak berkuasa di negara jiran.

"Kami memahami kes berkenaan mendapat liputan meluas dan media memerlukan maklumat untuk dijadikan bahan berita, namun dalam kes ini biarlah pihak polis menjalankan tugas siasatan," katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan mangsa culik terbabit diselamatkan ketika cuba diseludup ke Laos.

Laporan itu turut menyebut polis negara itu membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos sebelum menemui dan menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di kediaman keluarga mangsa mendapati tiada pergerakan keluar masuk kenderaan, bahkan pagar rumahnya juga masih tertutup.

Turut kelihatan adalah notis supaya media tidak menganggu mereka yang ditampal pada tiang pagar.