Mangsa keracunan gas karbon monoksida belum tunjuk perkembangan positif

Hasimi Muhamad
September 18, 2020 12:50 MYT
Terdahulu, tiga daripada empat pelajar kolej yang sedang menunggu hari Konvokesyen maut selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida setelah tertidur di dalam kereta.
Seorang lagi mangsa yang mengalami keracunan karbon monoksida ketika berehat dalam kereta dekat stesen minyak di Sama Gagah, Bukit Mertajam baru-baru ini masih belum menunjukkan perkembangan positif.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, mangsa sedang menerima rawatan rapi di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini.
“Mangsa telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke HAT Tuanku Mizan pada tarikh kejadian untuk diberi rawatan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT) di Unit Rawatan Hiperbarik hospital berkenaan.
“Pesakit tersebut masih dipantau dan diberi rawatan rapi dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan beliau yang belum menunjukkan perkembangan positif,” demikian menurut kenyataan tersebut, pada Jumaat.
BACA: Mangsa keracunan gas karbon monoksida dalam kereta masih kritikal - Polis
BACA: Kes lemas tidur dalam kereta: Mangsa ketiga meninggal dunia
BACA: Kenapa bahaya tidur dalam kereta? Ini fakta anda perlu tahu
Sehubungan itu, ATM menyeru seluruh rakyat negara ini agar mendoakan yang terbaik untuk mangsa dan keluarganya.
Terdahulu, tiga daripada empat pelajar kolej yang sedang menunggu hari konvokesyen maut selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida setelah tertidur di dalam kereta.
Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 1.40 pagi itu, semua mereka ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang enjinnya tidak dimatikan di stesen minyak berkenaan.
#Angkatan Tentera Malaysia #Hospital #keracunan karbon monoksida #kereta #maut #minyak #tentera