KEMAMAN: Dulu menjadi tonggak keluarga, kini perlu dijaga seperti anak kecil.

Azrolhisham Abdullah, 41, tidak mampu menguruskan diri selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat nahas jalan raya ketika pulang dari menghantar anaknya ke sekolah empat tahun lepas.

Menurut Aisyah Yahya, 65, sejak insiden berkenaan, anak kedua daripada enam beradik itu terpaksa menjalani tiga pembedahan di kepala dan masih menerima rawatan lanjut di hospital Kemaman dan Dungun.

Tambah Aisyah, setiap bulan mereka memerlukan perbelanjaan tinggi untuk menampung kos rawatan susulan Azrolhisham dan dirinya yang menghidap penyakit radang tulang.

"Seronoklah ada yang datang bertanya khabar, ambil berat terhadap anak Mak Cik ini dah lama menderita, empat tahun tidak ada dapat apa-apa bantuan.

"Tiba-tiba Alhamdulillah hari ini dapat, Mak Cik bersyukur sangat-sangat kepada Allah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata kesedaran hak menuntut perlu ada dalam kalangan pencarum untuk berurusan terus dengan Perkeso tanpa melalui pihak ketiga.

"Tanggungjawab kita sebagai untuk membantu mereka yang tidak bernasib baik ini yang menjadi pencarum kepada Perkeso ataupun sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang mana tanggungjawab utamanya adalah memberi perlindungan.

"Kepada pencarumyang ditimpa musibah, inilah tanggungjawab kita," katanya.

Azrolhisham menerima pencen ilat berjumlah RM756.26 manakala penjaganya pula menerima elaun layanan sebanyak RM500 sebulan seumur hidup.

Datuk Awang Hashim berkata demikian ketika menziarah Azrolhisham di Felda Seberang Tayor, Kemaman.