Manila dilaporkan telah mendapatkan nasihat daripada ulama Islam kanan negara itu bagi mengkaji semula tuntutan negara itu ke atas Sabah.

The Star Filipina pada Selasa melaporkan bahawa Presiden Benigno Aquino III telah merujuk sekumpulan profesor dari beberapa universiti terbaik republik itu, termasuk University of the Philippines.

Mengikut sumber yang tidak dinamakan, Aquino telah mendapatkan pandangan dan menilai konteks sejarah tuntutan itu.

Tuntutan ke atas Sabah tercetus semula apabila pengikut bersenjata kesultanan Sulu menceroboh Lahad Datu pada 9 Feb bagi menuntut negeri utara Borneo itu.

Dalam laporan itu, wakil dari pejabat presiden dilaporkan berkata: "Kami telah berunding dengan ulama Islam, sebahagian daripada mereka cukup berusia ."

Sementara itu, media Filipina juga melaporkan Jamalul Kiram III yang mendakwa beliau keturunan Sultan Sulu dan dalang di sebalik pencerobohan itu telah meminta bantuan daripada Biskop Katolik di negaranya.

Rappler.com melaporkan Kiram bertemu dengan Ketua Biskop Jose Palma dari Cebu, sebelum biskop itu berangkat ke Vatican semalam.

Jurucakap Kiram, Abraham Idjirani pula dipetik berkata bahawa keluarga Kiram bukan saja cuba mendapatkan sokongan dari gereja tetapi turut ingin mendekati Pope Francis yang baru dilantik.

Semasa pertemuan itu, Kiram menuduh berlaku pencabulan hak asasi terhadap warga Filipina di Sabah. Dia juga menunjukkan dokumen sokongan tuntutan ke atas negeri itu.

"Kami datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih kepada Biskop dan untuk menunjukkan perpaduan bangsa Islam-Kristian di Filipina," Jaycel Kiram, anak perempuan Jamalul dipetik berkata kepada Manila Standard Today.

Ketua Biskop Cebu dalam reaksinya berkata, beliau tidak dapat menjanjikan apa-apa kepada Kiram, tetapi akan merujuk perkara itu dengan pihak yang mampu, tambah laporan tersebut.

Presiden Aquino pada 18 Mac berkata, Filipina akan bersikap terbuka untuk berunding dengan Malaysia mengenai isu itu, menunjukkan bahawa Manila masih tidak berputus asa untuk menuntut Sabah.

Manila juga dilaporkan telah melantik satu pasukan peguam untuk mengkaji tuntutan negara itu terhadap Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas Sabah, merujuk kepada pungutan suara Suruhanjaya Cobbold 1962 di Sabah dan Sarawak, di mana kira-kira dua pertiga daripada rakyat mengundi untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Pada 28 Mac, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman turut menekankan bahawa Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan terhadap Sabah, sama ada dari keturunan kesultanan Sulu atau mana-mana pihak lain, termasuk kerajaan Filipina.

“Saya telah menjelaskannya sebelum ini. Kita tidak akan melayan sebarang tuntutan atau sebagainya,” kata Anifah.