GEORGE TOWN: Parti Gerakan membidas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang berjanji tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam masa sama, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menggesa Guan Eng berhenti menipu pengundi dengan tawaran berkenaan sedangkan semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, mereka  tidak dapat memansuhkan tol di lebuh raya berkenaan.

"Lim Guan Eng pernah menjadi Menteri Kewangan, tetapi dia tidak boleh memansuhkan tol. Siapa percaya jika Pakatan Harapan berkuasa semula tol akan dimansuhkan?

"Rakyat telah ditipu sekali dan saya percaya tiada siapa yang akan ditipu untuk kali kedua!" katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu juga mengingatkan Guan Eng, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan, beliau pernah berkata 'manifesto pilihan raya umum bukan bible'.

“Pada masa itu, beliau jelas menolak pemansuhan tol di  Lebuhraya Utara Selatan,” Kata Tong Keong lagi.
Menurut beliau lagi, sejak kebelakangan ini, pemimpin PH sering menekankan tempoh 22 bulan tidak cukup untuk menyelesaikan masalah.

“Semuanya mengarut dan menipu pengundi. Justeru, beliau berharap PH akan berkhidmat kepada rakyat secara turun-temurun, bukannya berbohong.

“Tiga negeri diperintah PH itu kucar-kacir, dan tidak ada gunanya berbohong lagi. Guan Eng dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain berhentilah menabur janji manifesto yang tidak jadi dalam pilihan raya umum ini untuk menipu pengundi sekali lagi,” kata beliau lagi.

Pada Isnin, Guan Eng dilaporkan berjanji tol PLUS akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, semasa menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang PRU14 pada 2018, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.

Menurut portal berita FMT yang memetik China Press, Guan Eng menegaskan, PH 'boleh memansuhkan tol' di lebuh raya jika diberi tempoh mentadbir selama lima tahun lagi.